Mungkin - Part 11



DUB!

Satu tumbukan padu ke bawah dagu dilepaskan dengan begitu kuat sekali.

Dalam masa yang sama, lutut pula singgah di tempat yang sama menyebabkan sang musuh terpelanting ke tengah gelanggang.

Darah bersemburan di udara sebelum terpercik merata atas pentas. 

Ku maju ke depan, menarik tubuh sendiri yang sudah bagai daging cincang rasanya tertusuk pagar kawat berduri. Pedih tak terkata. 

Keris masih di tangan.Ku hampirinya perlahan-lahan. Masih berhati-hati.

Ku lihat Dewa Kematian sudah menggelupur, mata sudah sedikit terbeliak ke atas. Nampak nyawa-nyawa ikan.

Sekali lagi, sorakan para penonton menjadi sepi. Tadi, mereka menggila bersorak setelah melihatku diasak bertubi ke dinding berduri. 

Ku tekan dadanya dengan lututku. Lututku sebelah lagi menekan sebelah tangannya. Kunci.

Inilah saatnya. Kan ku tikam kau sampai mati.

"Kill him! Kill him! Kill him!"

Sorakan mulai memenuhi suasana gelanggang tertutup. Memaksaku menghabiskan nyawanya. Ku lihat penyangak ni kembali waras perlahan-lahan. Dengan sebelah tangannya, cuba menyerang. Dengan kedua-dua kakinya, cuba melututku dari belakang.

Aku membiarkan. Menatap tajam ke dalam matanya.

"Dewa Kematian tidak wujud. Bila kau juga mati di tangan aku! Hiyah!!"

ZAPPP!

Keris terbenam dalam dahi musuhku. Tangan dan kaki yang menyerang-nyerang tadi automatik lumpuh, diam.

Aku berdiri di tengah-tengah gelanggang. Bagaikan seorang adiwira. Huh. Padahal, aku dengan si mati tidak jauh bezanya. Pembunuh dengan pembunuh. Tiada beza siapa yang mati. 

Dua-dua ke neraka.

***

Orang-orang Dewa Kematian datang membuka sangkar gelanggang. Memberi laluan kepadaku keluar. Hairan. Aman tanpa diugut atau diancam.

Ketika membuka sangkar si wanita, aku sempat bertanya pada pengawal di situ kenapa mereka tak bunuh aku, setelah aku membunuh bos mereka.

Tapi, mereka cuma menyerahkan satu panggilan fon kepadaku.

"Tahniah, Tanpa Nama. Ini kontrak profesional. Kau menang, kau dapat apa yang kau nak. Kau dah tumpaskan orang keempat terkuat dalam organisasi kami. Tapi, kami tak kisah. Kerana dia memang perlu diganti pun. Sampah tetaplah sampah. Kalau tak ada yang tolong kutip buang, buruk reput sendiri juga.

Jalan seterusnya, tak semudah ini. Untuk sampai kepada kami Tiga Terunggul, kau kena cari sendiri.

Satu clue untuk kau. Orang ketiga berada di salah satu dari kapal-kapal terbang di Malaysia.

Kau jangan rasa megah dengan kemenangan kau setakat ini. Mungkin hanya kebetulan. Mungkin hanya luck kau. 

Sebab kau dalam permainan kami. Kau hanya buah catur. Mungkin kau buah yang bijak mampu checkmate king, mungkin kau cuma seketul bishop yang cuma mampu bergerak satu arah dalam jalur warna yang sama.

Tempoh masa kematian kau cuma 30 hari. Kami extend. Itu pun atas dasar belas kasihan kami kerana melihat kau gigih menumpaskan rakan-rakan kami satu persatu. Satu peluru dah cukup untuk membunuh kau sebenarnya. Tapi, permainan ni kami tak nak ianya berakhir dengan begitu simple. Tak fun lah.

Biarlah sinetron sikit. Ha ha ha!"

Tup.

Panggilan dimatikan. Aku tak pasti dengan siapa aku bercakap tadi. Nombor satu, dua, atau tiga. Entah. 

Wanita yang dibebaskan dari sangkar datang mendekatiku. Matanya berkaca-kaca. Berlinangan air mata. 

"Terima...terima kasih.. awak dah selamatkan saya dari dijual, dari dijadikan pelacur kelas atasan..awak dah lindungi maruah dan kehormatan saya..."

"Diam. Aku tak nak dengar. Jalan." Tanpa sebarang perasaan. Aku tak ada niat menyelamatkannya pun. Aku cuma nak menang.

Wanita itu segera memaut lenganku. Takut dengan orang ramai di sekeliling. Nak saja ku rentap. Hm. Biarlah. 

***

Kami diberikan sebuah kereta sedan Honda City berwarna hitam, beg berisi 1% dari wang kemenangan, dan satu beg panjang penuh senjata. Kata mereka, itu semua dalam kontrak. Kalau dikira, aku dah jadi orang yang paling kaya hari ini. Apa tidaknya, wang taruhan mencecah 650 juta dollar. Dalam beg, ada 6 juta dollar.  Bermakna, gelanggang mereka untung lagi besar dengan mengambil semua wang kemenangan aku. 

Aku agak, kereta ini pasti sudah dipasang alat untuk mengesan kedudukan kami. Takkan semurah hati ni nak bagi. Tapi, tak kisahlah. Aku nak blah dari sini. Sakit-sakit di belakang badan.

"Awak nak singgah di klinik tak?"

Aku cuma diam. Meluncur laju kereta. Perjalanan masih jauh. 

"Awak dah ada banyak duit sekarang, nak upah dari saya lagi ke?"

"Tu duit haram. Duit judi. Aku tak makan duit judi."

"Tapi, duit bunuh orang pun haram, kan?"

Aku diam. Tak jawab. Malas nak argue bercampur dengan letih. Ku berhenti di sebuah masjid berwarna hijau. Aku tengok papan tandanya, Musulman. Terletak di sebelah Sheraton.

"Kau nak solat tak?"

Dia mengangguk dan keluar dari kereta. Aku cuma memerhatikan dari jauh. Aku tak solat, biarlah. Aku memang bahan api neraka. Tapi, jangan tarik orang lain masuk sekali. Biarlah dia tunaikan kewajipannya pada Tuhan.

Urusan aku dengan Tuhan, aku dinginkan.

***

Kami masuk ke kawasan perkampungan. Jalan besar terlalu ramai penguatkuasa. Leceh. Kena lalui jalan desa.

Waktu dah melewati 5 petang.

"Kita berhenti rehat di sini."

Aku menyandang beg berisi duit. Inilah natijahnya bila bawa duit banyak. Benda ni lagi merbahaya dari nyawa orang. Susah nak jaga. Kena bawa ke mana-mana. Tapi, sekarang dah ramai orang gila. Tayang duit ribu-ribu buat live video. Padahal duit sama saja, bukannya duit untung pun. Bila kena rompak, baru nak menyesal ingat Tuhan. Meniaga tak ingat Tuhan pula.

Kami berhenti di hujung kampung. 

"Sana ada sebuah rumah. Mungkin boleh tumpang teduh."

Kami masuk ke laman rumah yang tidak berpagar. Ada banyak pokok di sekelilingnya. 

"Kau pegang beg ni kejap. Belakang aku gatal." Aku turunkan beg.

"Awak!"

"Apa?"

"Belakang baju awak penuh darah! Basah habis dengan darah!"

Bisinglah perempuan ni. Seketika, ada seorang nenek tua menjengah dari luar tingkap. Senyum pada kami. Membuka pintu rumah dan mempersilakan kami naik.

"Malay."

"Oh, Malay. Nenek tahu cakap Malay sikit-sikit." Dialeknya bercampur-campur, macam Kelantan Thai. 

"Nenek ada ubat tak? Belakang dia ni berdarah!"

Aduh. Kecohlah minah ni. 

Nenek suruh aku pusing. Tanggalkan baju. 

"Banyaknya parut!" 

Nenek mengambil kain bersih dan membasahkannya sedikit. Mengelap darah yang keluar dari lubang-lubang di belakang badan. Pedih. 

Nenek pergi ke dapur. Wanita tua itu mengambil ibu kunyit sebesar ibu jari dan memasaknya dengan sedikit minyak masak bersama asam keping dan beberapa biji manjakani. Bila sudah sebati, ditutup apinya. Tunggu sehingga ia suam sedikit. Tak lama. Nenek keluar dengan ramuan kunyit yang telah siap macam krim gitu.

"Pedih sikit, nak tahan ya."

Dia mula menyapunya perlahan-lahan pada seluruh luka di belakang badanku. Pedih macam nak keluar air mata. Sabar sajalah.

Kemudian, dia mengambil selembar kain bersih dari almari, yang dicarikkannya menjadi kain balutan. Dibalutnya tempat yang luka dari depan sampai ke belakang.

Aku rasa sedikit selesa. 

"Tidurlah di sini malam ni. Luka tu akan tertutup jika tak banyak bergerak."

Aku meniarap atas lantai kayu beralaskan tikar mengkuang. Pejamkan mata. Rasa angin hangat keluar dari saluran pernafasanku. Mungkin, suhu badan naik. Entah. Aku tak peduli.

Wanita itu duduk di sebelahku.

"Parut-parut tadi...awak tak nak cerita?"

Aku mengeluh ringkas. Celik sebelah mata.

"Kau tak perlu tahu. Pergi sana, rehat."

***

Tak ada siapa pun dalam rumah tu. Aku, perempuan tu dan nenek. 

Lama terlelap. Tersedar. Aku tengok jam pukul 10 malam. Tidur yang tadi meniarap, kini mengiring. Entah bila aku tak ingat. 

Terasa basah di dahiku. Perempuan di sebelahku sedang mengelap wajahku. Lap dengan kain dingin lembap.

"Awak demam ni. Tadi meracau-racau dalam tidur."

Aku menyentuh wajah sendiri. Pegang pergelangan tangannya kuat.

"Mana topeng aku?!"

Mataku menatap matanya tajam. Amarah menguasai diri


Bersambung..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!