Mungkin - 10



Aku berjalan masuk ke gelanggang. Lampu limpah kiri kanan dah macam dalam stadium. Gudang tertutup ni memang sangat luas. Aku pun tak sangka sebegini luas. Tak ada penguatkuasa ke datang serbu?

Oh, ada duit semuanya beres.

Orang ramai memenuhi kiri kanan, depan belakang, segala ruang yang ada. Full house malam ni. Siap DJ. Siap lagu dah macam night club. Bingit. Mahu saja aku campak bom biar berderai semua.

Lampu audiens digelapkan. Spotlight disuluhkan padaku yang berjalan masuk ke stage. Dah macam WWE. Bezanya aku tak ada lagu latar dan opening theme saja. Masuk dengan sorakan dalam bahasa orang-orang tempatan di situ yang aku tak faham. Sama ada mereka bersorak untuk aku hidup. Atau bersorak untuk kematian aku.

Lantaklah.

Kedengaran pengacara majlis memperkenalkan aku,

"This night! No Name versus God of Death! One of them will die here!"

Aku nampak bertong-tong besar tabung duit diedarkan. Orang ramai berasak-asak memasukkan duit masing-masing dalam tabung tersebut. Ceh.

Ku dongak. Lihat ada scoreboard digital. Di situ nampak jelas muka aku bertopeng dan si penyangak sebelah menyebelah. Rating mencanak pada si penyangak. Dengan taruhan kemenangan mencecah 90 juta dollar. Ku lihat rating judi di sebelah namaku. 122 juta dollar untuk aku tewas. Semua ni angka yang berjudi atas talian di seluh negara yang sedang memerhati dari fon dan komputer. Angka-angka itu masih meningkat dari semasa ke semasa.

Sorak-sorai makin menggila bila lampu dipancarkan pada pintu sebelah sana. Okay, yang ni tak aci. Si penyangak ni ada opening theme bagai. Mikrofon di tangan kanannya.

"Hai, Tanpa Nama! 

Selamat datang ke gelanggang maut kau malam ni. Sorry, tak dapat tengok langit malam ni sebab stage di dalam. Sayang sekali, biasa orang nak mati ni nak tengok langit buat kali terakhir. Kah kah kah.

Apapun, kalau kau menang, seperti sedia maklum. Tapi, kalau kau kalah, perempuan tu, aku yang punya. Aku akan jadikannya pelacur kelas atasan untuk dato' dato' dan vvip di mana-mana negara yang aku pergi. Of couse, aku akan merasmikannya dahululah! Kah kah kah!!"

Pancaran lampu disuluh pada seorang wanita dalam sangkar besi. Aku menoleh dan melihat tenang. Sedang si perempuan dah pasrah habis, berlinangan air mata. Hilang punca. Pasti dia tak berharapkan apa-apa pada aku. Sebab padanya, aku pembunuh semata. Jika tidak didagangkan si penyangak ni, pasti dibunuh aku. Sama saja, baik mati.

Kemudian, lelaki angkuh tadi berbicara dalam bahasa Vietnam tanpa aku fahami butirannya. Yang menyebabkan penonton menjadi agresif dan ganas bersorak-sorai. Melaung-laung. Macam beruk.

Sambil mereka ketawa berdekah-dekah pada senjata yang ku pegang di tanganku.

Heh. Sebilah keris berukuran 58cm, jenis bilah luar Jawa. Mungkin mereka ingat aku akan memilih parang besar atau pedang panjang. Senjata yang lebih ganas.

Mungkin. Mereka tak tahu sejarah pun. Bukan. Memang tak tahu.  

August Johan Bernet Kempers, seorang pengkaji seni purbakala Indonesia menyatakan bahawa munculnya tradisi pembuatan keris di Nusantara dipengaruhi kebudayaan perunggu yang berkembang di Dongson, Vietnam, sekitar abad ke-3 Masihi. Dia menduga bahawa keris adalah perkembangan lanjutan daripada jenis senjata penusuk pada zaman perunggu. Senjata tikam zaman itu berbentuk menyerupai manusia berdiri pada gagangnya, yang menyatu dengan bilahnya. 

Tapi, bila dikaji prasasti dan gambar-gambar relief pada candi-candi di Jawa, ternyata keris sudah lama wujud lebih kurang abad ke-5 Masihi. Pada prasasti di Desa Dakuwu, Grabag, Magelang, Jawa Tengah, ditemui relief yang menggambarkan peralatan besi. Prasasti dengan huruf Pallawa yang menggunakan bahasa Sansekerta, menunjukkan jelas adanya sebuah mata air yang bersih dan jernih, terdapat beberapa gambar yang antaranya terdapat trisula, kapak, sabit, kudi dan belati atau pisau yang bentuknya mirip dengan keris.

Mungkin ramai tak tahu, kenapa kedudukan bilah keris yang miring atau condong? 

Itu sebenarnya lambang sifat yang terpuji: tidak kira apa juga kedudukan dan pangkatnya, orang itu harus sentiasa tunduk dan hormat bukan sahaja kepada Sang Pencipta, tetapi juga sesamanya. Hal ini sesuai dengan falsafah padi: semakin berisi semakin merunduk. Dah, kalau nak aku tulis semua, baik aku jadi cikgu sejarah.

Memang, aku tidak mengamalkan agama. Tapi, aku percaya adanya Sang Pencipta dan tidak ada sebarang kuasa pun mengatasi kekuasaan-Nya.

Si penyangak konon Dewa Kematian ini hanya makhluk. Bila namanya makhluk, kehebatannya cuma pinjaman tidak kekal. Kekuatannya hanya bersifat sementara. 

Bukan takat dia, aku pun.

***

Aku masuk ke atas pentas perlawanan. 

Pentas ni pentas sangkar. Sangkar pagar berduri. Ini bermakna, tak ada jalan keluar selain hidup dan mati di sini. Tak istilah panjat keluar pagar atau terhumban keluar dari teritori pagar ni. Tiada foul. Tiada time-up. Tiada pengadil. Sangkar ni agak luas. Aku kira separuh padang futsal. Keluasan padang futsal yang diiktiraf Persatuan Futsal Dunia (AMF) adalah 40m x 20m. Kiralah sendiri.

Bajuku dikoyakkan sebelum masuk tadi. Hanya berseluar jeans, bertopeng dan berkeris. Dah macam pahlawan Melayu hipster. 

Giliran musuh pula masuk. Dengan berseluar Muay Thai dan tidak berbaju. Yeah, berparang emas bergerigi tajam di bahunya. Kaya sangat. Punyalah bongkak.

***

"Kau dah sedia untuk mati?" Lawanku bertanya sinis.

Aku hanya senyum kambing di sebalik topeng. 

Bell dibunyikan.

"FIGHT!"

Serangan bermula.

Dewa Kematian melibaskan parangnya padaku. Lincah menyerang dari segenap sudut.

ZAP!

Cuai sedikit saja. Hirisan membelah permukaan dadaku. Darah mencurah keluar. Heh. Tak guna.

Aku pula menyerang balas. Ku pegang tangannya yang sedang melibas garang. Sasa lawan sasa. Tumbukan demi tumbukan ku hayunkan ke rusuknya. Ku tunjal lututnya yang menjadi titik serangan utama seni Muay Thai.

DUBB!

Sikunya singgah di kepalaku dalam langkah cuai sekali lagi. Rebah kepeningan. Memang padu. Terasa darah di kepala mengalir membasahi jatuh dari celahan rambut ke dalam topeng.

Segera ku bingkas bangun. Memang betul-betul jaguh Muay Thai.  Muay Thai mirip dengan gaya seni bela diri lain dari Indocina, seperti ''pradal serey'' dari daerah Kemboja, Tomoi dari daerah Malaysia, ''lethwei'' dari daerah Myanmar dan Muay Lao dari daerah Laos. Muay Thai adalah olahraga nasional Kerajaan Thai dan gagasan dari bela diri kuno Muay Boran. Muay itu sendiri bermaksud tomoi atau tinju. 

Kelebihannya pada tulang empat kerat yang keras dan tangkas. Tulang kering mana yang lebih lasak, pergerakan siapa yang lebih laju, dialah bakal jaguh.

"Wow, tak sangka kau mampu tumbuk aku. Seingat aku, lawan aku sebelum ini tak sempat sentuh, dah terkulai kepala berpisah dari badan. Ha ha ha!" Dewa Kematian ketawa berdekah sambil mengatur serangan seterusnya.

Hm.

Baiklah. Aku mengatur nafas kembali. Kemaskan kuda-kuda. Dah tak boleh semberono menyerang. Andai dikunci pergerakan, susah nak lepas. 

"Iyah!!"

Ku lancarkan seni tapak gayong. Di saat si penyangak menghunuskan parangnya, ku laksanakan jurus pengunci dari 21 tapak pengunci mati. Menangkis tangan penyerang dengan tangan kiri. Tangan kanan pegang tangan tu. Ku cuba lipatkan tangannya ke atas dengan sedaya upaya. Dia cuba menyerang, ku naikkan lutut segera ke dadanya. 

PAP!

Lawan dijatuhkan, inilah masanya ku hentak tumit ke rusuk secepat kilat. 

Namun, si jaguh muay segera bangkit menggila dengan melutut dadaku pula bertubi-tubi. Segera ku bentes dengan kedua-dua lengan sambil melibaskan keris ke perutnya. Dia melompat ke samping mengelak. 

Terlihat hirisan keris mencalari perutnya. Darah terkopak keluar. Dia nampak tak gembira dengan situasi itu.

Aku dalam posisi menanti. Lawan menerpa ke depan. Aku gerakkan kaki maju ke depan, mencari titik kelemahan. Kelemahannya jelas terserlah bila parangnya dilibas sesuka hati ke kiri ke kanan. Ku tahan tangan yang melibas itu sekuat mungkin. Nah, satu tumbukan padu dilancarkan pada lehernya. Terus masukkan tangan kanan ke lehernya. Tapak kunci buah kesembilan. Tangan kiriku ku susurkan ke belakang lehernya. Menguatkan lagi jerutan dua tangan pada leher. Ini jerutan kunci leher yang boleh melemaskan.

Dewa Kematian terkapai-kapai sesak nafas sendirian. Aku tidak tunggu lama dan terus memijak pelipat kakinya dari belakang. Terduduk dengan sebelah kaki di lantai. Meronta-ronta!

Ku ketatkan lagi kuncian leher.

"Hiyarghhh!!!"

Tangannya yang memegang kuat parang emas, makin lemah genggamannya. Jatuh parang emas tu kerana sekarang dia cuba menggunakan kedua-dua tangannya untuk melepaskan jerutan maut pada lehernya. 

Berkali-kali dia menyikuku dalam rontaan yang lemah-kuat-lemah kembali. Inilah masanya.

Ku lepaskan satu tangan, merodok keris ke dalam dadanya!

Dewa Kematian tersungkur di permukaan pentas. Gelanggang sunyi sepi seketika. 

Ini kali pertama dalam hayat mereka melihat sang dewa yang mereka agungkan tertusuk senjata tajam. Lok keris bengkang bengkok ku tarik dari badan lawan. Mengerang kesakitan. Ku lihat lok tadi ada 17 atau 18, tak pasti, sekilas. Orang kata, ketidaksempurnaan pada lok keris kerana ianya senjata alam Melayu punyai nilai ketuhanan. Tiada senjata yang sempurna kerana Allah itu Maha Sempurna!

Ku tunjal parang emas hingga terkeluar dari sangkar. Kini, cuma tinggal aku, dia dan keris berbisa ini.

Dia bangun dengan darah bercucuran dari dada. Lubangnya tidak seberapa, namun bisanya mungkin terasa hingga segenap jiwa.

"Aku! Dewa Kematian! Takkan tewas pada budak mentah macam kau!!"

Dia menyerang dengan bertubi-tubi, ku elakkan satu persatu. 

DUSH!

Tendangannya terlalu kuat hingga aku tercampak ke dinding sangkar! 

"Argh!!"

Duri sangkar terbenam di belakang badan. Dia datang menyerang lagi bertubi-tubi di saat aku cuba melepaskan diri dari duri-duri. Aku membiarkan serangan demi serangan, kerana yang paling penting sekarang adalah titik kelemahan yang kian terdedah. Mungkin taktik aku ini efektif. Mungkin tidak. Mungkin!

Jumpa. 

Ku kumpulkan seluruh kekuatan pada buku limaku.

Sekarang!


Bersambung...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!