Mungkin - Part 7



Sekujur tubuh menggelupur di dalam lubang kubur. Lubang yang dicacak dengan runcing-runcing buluh yang jika tertikam, boleh menembus dari depan ke belakang tanpa gagal.

Pembunuh upahan kembar tersula tragis di dalamnya. Menggeletar seketika, darah bersemburan keluar dari mulut dan hidung, kemudian, diam selamanya.

Aku pejamkan mata. Lega. Dari awal, mata tidak cukup masa untuk berkedip semata-mata untuk memerhati gerak-geri musuh. Andai terkatup seketika, buka saja mata pasti dah di alam baqa'.

Secara keseluruhan, taktikal booby trap ini berjaya. Bukan satu lubang kubur yang ku gali, tapi berbelas. Satu layer di barisan belakang, satu lapisan lagi di hadapan. Lapisan belakang bertutupkan semak-samun dan daun-daunan serta pelepahan. Sudah ku agak, pasti perangkap semudah itu tidak akan termakan pembunuh-pembunuh upahan yang cekap lagi berpengalaman dalam selok-belok jungle-war. 

Namun, lapisan kedua pasti sukar disedari, bila mana lubang kubur itu diselindungi dengan lapisan tanah juga. Itulah sebenarnya tujuan asap dari unggun api. Untuk buat mereka tak berjaya menentukan perbezaan antara tanah perangkap dengan tanah yang sebenar-benarnya boleh dipijak. 

Dan tembakan yang ku lepaskan, bukanlah pada sasaran, tetapi pada lubang-lubang kubur tanah yang ku tahan dengan dahan kayu di dalamnya. Bila ditembak, dahan-dahan tersebut akan ranap dan mangsa yang terpijak akan terus menjunam jatuh ke lubang kubur yang di dalamnya juga diletakkan buluh runcing setajam pisau.

Ku lihat bahu kiriku. Heh. Berdarah. Bukan calang-calang pembunuh. Memang stail penembak tepat. Pasti mengena. Tangan yang betul mengalahkan pembaris. Walaupun akhirnya si penembak mati jua, sisanya masih berbisa di dalam bahuku. Tapi, aku yakin, peluru tembus melepasi bahu. Tidak tertinggal di dalam daging.

Ku panjat tebing sungai. Mendekati mayat-mayat. Semua sudah disahkan meninggal. Telefon berdering dari dalam kocek seluar salah seorang daripada mereka. Ku angkat. Diam.

"Oh, Tanpa Nama kan?" Kedengaran suara garau di hujung fon. Seraya menyambung kata,

"Bila kau yang angkat sekarang, nyata keduanya dah tewas di tangan kau. Aku kagum.  Aku adalah orang yang seterusnya kau kena hadap. Sorry, aku takkan menghadap kau. Kau yang kena datang kepada aku."

"Maksud kau?"

"Kumpulan aku seramai 200 gengster akan buru kau sampai ke lubang cacing jika kau tak datang kepada aku. Peluru sesat akan menembusi kepala kau dan perempuan tu di mana saja kau berada. 

Tapi, jika kau sendiri yang datang kepada aku, aku bagi jaminan, tiada siapa akan datang kepada kau setelah kau keluar dari hutan tu. Tiga pembunuh terulung tidak akan campur tangan sehingga aku ditewaskan. 

Haha. Tapi, tu tak mungkin berlaku. Sebab aku yang akan bunuh kau sebelum mereka."

"Apa yang kau nak?"

"Datang ke Vietnam dengan perempuan tu dalam 3 hari. Jangan risau, semua jalan belakang orang aku dah clearkan. Tiada halangan dari pihak berkuasa.

Kita jumpa di gelanggang "Fight Till Death". Kau pasti tahu gelanggang apa tu kan? Lokasi dah aku send ke fon saat kita sedang bercakap. Sekian."

Tup.

Talian diputuskan.

Celaka. Terperangkap di tengah-tengah. Aku tidak ada masalah diburu 200 gengster sekalipun. Namun, akan jadi masalah di kemudian hari kerana aku tidak berseorangan. Sampai bila nak main sorok-sorok berdua? Bagai mendukung biawak hidup bawa perempuan ni.

***

"Kita kena keluar dari hutan ni."

"Kita nak ke mana?"

"Vietnam."

"Hah! Jauhnya!"

"Tiga dah tumbang, ada empat lagi. Kita akan jumpa pembunuh yang keempat. Kalau aku tak silap, seorang jaguh Muay Thai. Kalau aku dapat kalahkan dia, barulah aku boleh hadap Top Three."

"Kenapa kena ikut arahan dia?"

"Ketujuh-tujuh pembunuh mesti dibunuh. Barulah kau dan aku akan bebas dari dibunuh. Kau nak, masa kau suap makan nasi lemak di warung, peluru yang menembusi mulut kau, bukan sambal ikan bilis?"

Dia menggelengkan kepala cepat-cepat.

"Okay, gerak. Jangan banyak tanya."

***

Sekali lagi, kami terpaksa meredahi hutan tebal untuk keluar. Subuh pagi, akhirnya sampai juga di kereta Kancil yang ku sorok dalam semak.

"Penat. Sangat."

Aku tengok wanita itu memang dah kehabisan tenaga. Berjalan jauh. 

"Kau rehatlah dalam kereta."

"Kita berhenti di masjid boleh, nanti?"

"Untuk?"

"Lah, solat Subuhlah. Saya masih Islam. Tak macam awak."

Hm. Tak guna. Kereta meluncur laju membelah sejuk pagi. Sehinggalah sampai di sebuah surau kecil. Aku perlahankan kenderaan 100 meter jauh dari pagar surau. Tepat-tepat di saat azan Subuh berkumandang.

"Dah sampai. Pergilah. Aku tunggu sini."

"Turunlah sama. Solat. Ni bukan balai polis, tak ada siapa nak tangkap awak. Tak ada siapa nak marah awak. Semua orang dialu-alukan ke rumah Allah. Tak kiralah perasuah negara hinggalah kuli batak miskin hina yang mengemis sekalipun. Semua boleh datang."

"Aku bunuh orang. Kau turunlah."

"Awak nak bunuh semua orang dalam surau tu ke? Tak, kan. Orang dalam surau tu akan bunuh awak tak? Tak, kan. Yang boleh ambil nyawa awak bukan manusia mana-mana. Tapi, nyawa awak di tangan Allah juga. Yang lain-lain cuma asbab kepada kematian."

"Kau nak turun ke nak berkhutbah?"

"Saya nak turunlah ni. Ingat, solat tu tak membunuh mana-mana jiwa. Solat itu menghidupkan kita."

Wanita itu turun tergesa-gesa. Berjalan cepat-cepat ke dalam surau. 

Aku tunggu dalam 20 minit. Dari terdengar azan, hinggalah imam baca surah demi surah yang tersebar di speaker surau sampailah ke doa dan wirid lepas solat. Diam. Aku diam membatu.

Dah 5 tahun aku tak solat. Selepas peristiwa hitam itu, aku dah tak percaya Tuhan. Aku percayakan diri sendiri. Entah. Antara memikirkan mana yang betul dan tidak, aku lebih rela memikirkan soal duit. Dengan duit dan kekayaan, dunia ini dalam genggaman. 

Manusia lebih rela sujud pada harta yang banyak, lebih sanggup membodohkan diri hormat pada jutawan, lebih sanggup tadah telinga dengar pakar-pakar kewangan konon kau boleh kayalah, kaut untung dari ceramah kekayaan yang menipu. Hakikat dunia. Wang adalah segalanya.

***

Wanita itu datang semula dengan muka yang putih bersih. T-shirt yang dijadikan tudung di kepala dah tak ada. Digantikan dengan tudung putih.

"Mana kau campak t-shirt aku?"

"Oh, saya cuci tadi dan sidai. Nanti kita datang ambil balik ya. Saya dah siap mandi, bersihkan diri semua. Nak hadap Allah kan tadi. Tudung putih ni saya ambil di dalam gerobok surau. Saya tak curi tau, tadi saya minta dengan makcik yang datang berjemaah di situ.

Awak nak datang sini semula tak, ambil baju?"

"Hm. Sedekah buat kain buruk surau sajalah."

Aku hidupkan kereta. Matahari dah memunculkan dirinya. Suasana yang gelap tadi menjadi terang. Kenderaan mulai membanjiri jalan raya.

"Awak, saya lapar."

"Ya, nanti aku akan berhentikan kau depan kedai makan sana."

"Awak tak lapar?"

Aku diamkan saja diri.

"Awak turunlah sekali, makan. Buka saja topeng tu."

Aku berpaling kepadanya.

"Kau tak payah nak mengarah aku la perempuan!"

Ku jerkah sampai terdiam. Ku berhentikan kereta. Buka pintu kereta di sebelah pemandu dari dalam dengan sedikit marah. Hulurkan duit RM50 kepadanya. 

"Keluar!"

Wanita itu cepat-cepat keluar menuju ke kedai makan. Aku perhatikan saja. Sakit menggigit-gigit di bahuku. Ku toleh sedikit melihat isi daging pada bahu yang terkopak. Membiru dengan darah masih mengalir. Barulah tersedar sesuatu yang pelik di bahagian yang cedera.

"Damn. Peluru beracun."

Patutlah pandangan aku sekejap kelam sekejap okay. Ku capai backpack. Menggeledah cepat-cepat untuk mencari ubat penawar racun. Ah, kepala pening. Pembunuh sekalipun tidak kebal pada penyakit. 

"Mana ubat ni!" Hati membentak sendiri. Pandangan makin samar.

Gelap.

Bersambung...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!