Mungkin - Part 2



"Terangkan dalam 2 minit. Kenapa orang nak bunuh kau?"

Wanita di sebelahku kaget. 

Aku acukan pistol di perutnya.

"Tak ada masa. Cakap sekarang. Atau kau sampai sini saja."

Kereta ku hidupkan segera. Undur ke belakang dengan laju. Meluru keluar dari rumah tragedi berdarah itu. Belum melewati jam 4 pagi.

Tapi aku yakin, berdas-das tembakan tadi telah mengejutkan jiran-jiran sekeliling. Polis pasti akan sampai bila-bila masa saja. 

Aku pun sebenarnya bukan nak bawak sangat perempuan ni. Aku cuma nak tahu, apa yang menarik sampai ramai nak bunuhnya. Sampai aku pun nak dibunuh. Bangsat.

Kau tak tahu kau deal dengan siapa. Akan ku cari siapa yang mengeluarkan arahan dan kecaikan isi otaknya bersemburan dengan tangan aku sendiri.

Aku bunuh orang. Hanya sebab duit.

"Okay-okay. Saya akan jelaskan. Tapi tolong, hulurkan apa-apa, nak tudung kepala."

Mengada.

Aku campakkan baju besar saiz XXL di kerusi belakang padanya. Dia terkial-terkial tutup rambut dengan baju tersebut. Dah macam nenek-nenek dah aku tengok.

"Okay. 

Ceritanya macam ni. Arwah ayah dulu tak ada anak 8 tahun pernikahan awalnya. Jadi, arwah telah mengambil anak angkat. Dua tahun kemudian, saya pula lahir. Mereka memang tak sangka arwah mak boleh mengandung akhirnya. 

Kasih ayah mak tak pernah berbelah bagi. Sama ada pada abang atau saya. Sama rata. 

Perniagaan ayah pula berkembang maju. Orang kata, rezeki anak-anak. Hingga ayah jadi seorang jutawan dengan aset bernilai lebih RM40 juta."

"So, ceritanya abang tiri kau nak kaut semua harta tu dengan bunuh kau. Cliche sangat. Banyak tengok drama." 

Aku segera memotong ayat.

"Baik, bagitau aku. Sekarang ni, semua harta tu akan jatuh pada siapa? Kau atau abang tiri kau?"

Wanita itu diam sejenak.

"Jawablah!"

Terus terkejut ditengking. Baru nak angguk macam bodoh mengaku segala harta akan jatuh pada anak kandung.

"Berapa harga kepala abang tiri kau? Sebutkan. Aku selesaikan dalam 24 jam tanpa gagal."

"Jangan bunuh dia!" Wanita itu merayu.

"Why? Dia dah suruh orang bunuh kau kot. Dan tak mustahil, berlambak lagi pembunuh upahan akan pergi pada kau."

DING!

Ku tekan skrin media di dashboard yang telah bersambung dengan fonku secara nirwayar. Ada satu mesej masuk.

"Aku dah agak."

"Apa dia?" Wanita itu kaget.

"Kau dah masuk dalam list. Sekarang, ada 7 pembunuh upahan terulung di negara ni, akan datang pada kau. Mereka dinamakan The 7th Silencers. Pembunuh dalam senyap. Kau tahu apa maksudnya?"

"Apa?!" Wanita itu berdebar-debar.

"Kau dan aku akan mati, tidak kurang dari satu minggu. Biasanya mereka akan membereskan semua kerja tanpa jejak dalam 7 hari saja. Networking mereka berlambak!"

Wanita itu dah meleleh air mata.

"Habis tu, macam mana?"

Aku menyeringai.

"Tujuh ke tujuh puluh ke, akan aku tembak sampai hancur otak mereka semua.

Asal kau setuju, bagi aku RM7 juta."

"Satu juta satu kepala."

"Deal ke tak deal?!!" Ku bentak keras dalam kenderaan yang dipecut laju membelah keheningan malam.

Wanita itu mengangguk-angguk macam bodoh lagi.

Huh. Aku tak peduli.

Money is everything. Hidup aku cuma untuk duit. Selain itu, aku tak berminat. Passion aku. Sebab aku tahu, duit lebih membunuh dari segala senjata yang ada di dunia ni.

Porak-peranda keluarga kerana duit. Hancur negara kerana duit. 

"Kalau ketujuh-tujuh tu dah paling hebat di negara ni, macam mana awak nak hadapi mereka? Boleh ke?"

Aku cuma tertawa di sebalik topeng.

Ringkas jawapanku,

"Mungkin."



Bersambung...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!