Isnin, 20 Mac 2017

Pergaulan bebas di tempat kerja yang melibatkan suami-suami dan isteri-isteri orang.



Nukilan di bawah aku terbaca di Facebook. Satu perkongsian yang baik. Terima kasih kepada penulis.

Andai ada yang tersilap laku, berubah. Demi rumahtangga dan kehidupan korang. Selamat membaca.

Ini Punca Sebenar Retaknya Rumahtangga

Sudah hampir 6 tahun aku berkerja dalam industri. Saja aku tidak nyatakan dalam industri mana, tapi aku akan bagi contoh berdasarkan pemerhatian aku terhadap diri sendiri dan kawan-kawan aku dalam bidang kerjaya.

Mulanya nak guna perkataan “ikhtilat” tapi tak semua akan faham kecuali budak-budak usrah dan mungkin budak-budak UIA. Bergurau, jangan marah. Pergaulan bebas lagi senang orang ramai faham apa maksudnya dan tahu juga macam mana sifatnya.

Sering kita baca berita atau artikel mengenai “Pergaulan bebas di kalangan remaja” atau “budak sekolah” atau “pelajar IPT”. Tapi rasanya jarang kita dengar tentang teguran pergaulan bebas di tempat kerja yang melibatkan suami-suami dan isteri-isteri orang. Baik yang muda 20-an hinggalah yang nak pencen 50-an.

Aku akan ceritakan apa yang aku alami dan nampak selama aku berkerja.

BERGURAU KETERLALUAN ANTARA LELAKI & PEREMPUAN

Benda ni sangat biasa. Bergurau, gelak-gelak dan yang paling aku tak berkenan tepuk tampar sentuh-sentuh. Sebelum tu aku nak bagitau yang aku ni seorang lelaki dan aku normal, haha. Maksudnya aku juga ada nafsu dan bila bergurau memang akan rasa seronok. Tapi nafsu itu kalau dirai dan dan dilayan, memang akan merosakkan.

Aku dah pun berkahwin dan aku tak suka bila ada lelaki yang cuba-cuba bergurau dengan isteri aku. Kalau korang kata aku kolot, jumud atau tak open-minded, aku rasa korang yang ada masalah sebenarnya. Sebagai seorang suami, kau takkan rasa senang bila isteri sendiri dikacau oleh kawan-kawan lelaki apatah lagi orang luar.

Mungkin yang senior-senior ada cara guraunya sendiri. Bertanya tentang anak sihat ke tidak, perihal keluarga masing-masing dan macam-macam semata-mata nak tau dan ambil berat. “Eh, anak puan dah sihat ke? Anak saya yang first pun lebih kurang sama je macam tu… haha (gelak sengih2)”. Yang ni mungkin tak keterlaluan.

Keterlaluan yang aku maksudkan ialah apabila gurauan itu dah melebihi ‘redline’, contohnya bergurau tentang hal-hal dalam bilik dan hal-hal dalam kain. Bergurau tentang malam jumaat antara lelaki dan perempuan. Masing-masing dah jadi suami dan isteri orang. Pandai-pandailah jaga maruah pasangan.

JAMUAN MAKAN, POTLUCK & PICNIC

Antara sebab aku kurang berkenan dengan majlis keramaian (selalu dinner), sebab pergaulan ini lah. Masa inilah ada peluang untuk bergelak ketawa dan bergurau sehabis-habisnya sebab majlis-majlis ini memang dikhaskan untuk bersosial.

Aku bukannya menentang atau ‘anti’ dengan majlis sebegini. Tak jadi masalah pun, malah memang ada tuntutan untuk rapatkan hubungan dan bonding lebih rapat, ataupun ice-breaking supaya tak kekok buat kerja. Yang jadi masalahnya, macam aku cakap tadi la. Tiba-tiba ada yang jadi miang. Baik lelaki mahupun perempuan. Waktu ni kan masing-masing pakai baju cantik-cantik. Jangan nak tipu la kalau mata tak melilau tengok sana sini.

WHATSAPP GROUP

Ha! Benda yang paling biasa di abad ini. Syarikat ada whatsapp group sendiri. Department ada group sendiri. Dalam department, ada whatsapp group untuk team pulak. Kemudian ada group untuk projek-projek yang kita terlibat pulak. Yang belum kerja, nanti korang kerja tau la. 5-6 group itu benda biasa. Malah mungkin lebih dari tu.

Ok itu pasal kerja. Ni aku nak cerita pasal ‘bergurau’ dalam whatsapp group. Tak habis di tempat kerja, dalam whatsapp pun nak bergurau. Share gambar itu, share gambar ini. Share gambar selfie lelaki dan perempuan. Aku punya style, bila dapat gambar yang aku rasa tak patut ada, aku terus delete je. Bayangkan, tak pasal-pasal dalam phone korang ada gambar perempuan (sorang-sorang) tengah selfie buat mulut muncung.

Nampak tak, pergaulan ni tanpa batas melainkan diri sendiri yang mengawalnya. Ada beberapa kawan (perempuan) yang aku kenal, malam-malam dia tak layan whatsapp sebab dia pernah kata yang suaminya tak bagi. Itu satu langkah yang sangat wajar. Layan suami jauh lagi baik dari whatsapp kemudian senyum sorang-sorang.

MATA SEORANG LELAKI

Pernah dengan lagu Jinbara, Patri : “Andai diri ini insani, pasti ada kemahuannya…”

Kepada para wanita sana, jagalah penampilan dan pergaulan. Lelaki pun! Lelaki ni ada segelintir yang memang suka tengok “barang” perempuan. Yang ini mungkin ada lucah, tapi aku bagitau terus terang. Ada yang tengok buah dada, punggung, badan chubby dan sebagainya. Baik perempuan itu bujang, atau pun isteri orang. Ini berlaku ya, bukan buat-buat cerita. Perempuan patut ada rasa untuk lebih secure, dan lelaki kena jaga pandang dan jangan layan nafsu sangat.

Nafsu ni memang takkan puas. Walaupun orang tu dah kahwin beranak-pinak sekali pun. Sama-sama lah jinakkan hawa nafsu yang sentiasa memberontak ni. Ada ganjaran untuk setiap itu.

ISLAM ADA GARIS PANDUAN YANG TEGAS TENTANG PERGAULAN

Benda ni tak semua orang akan senang. Lagi-lagi yang acah-acah berfikiran maju, open-minded. Aku nak highlightkan istilah ‘tegas’ kat sini. Memang islam ada peraturan tentang pergaulan yang sangat tegas. Ini semua bersumber dari Quran dan hadis nabi SAW. Sebagai muslim, kita kena lah berserah bulat-bulat dengan apa yang dah ditetapkan. Sama-samalah kita belajar dan amalkan.

KESIMPULAN

Jagalah maruah anda sebagai suami dan isteri jika sudah berkahwin. Yang belum berkahwin, apatah lagi. Yang dah kahwin ni, balik boleh bersama dengan pasangan. Yang belum, cuba usaha dan jangan putus harapan dengan rahmat Allah.

Ingat ya, banyak juga kes-kes curang di tempat kerja malah ada juga yang sampai berzina. Moga kita sentiasa dalam peliharaan Allah.


Sabtu, 18 Mac 2017

Lakukan amal semampu yang boleh




PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Lakukan Amal Semampu Yang Boleh

عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ قَالَ إِيمَانٌ بِاللَّهِ وَجِهَادٌ فِي سَبِيلِهِ قُلْتُ فَأَيُّ الرِّقَابِ أَفْضَلُ قَالَ أَعْلَاهَا ثَمَنًا وَأَنْفَسُهَا عِنْدَ أَهْلِهَا قُلْتُ فَإِنْ لَمْ أَفْعَلْ قَالَ تُعِينُ ضَايِعًا أَوْ تَصْنَعُ لِأَخْرَقَ قَالَ فَإِنْ لَمْ أَفْعَلْ قَالَ تَدَعُ النَّاسَ مِنْ الشَّرِّ فَإِنَّهَا صَدَقَةٌ تَصَدَّقُ بِهَا عَلَى نَفْسِكَ

Dari Abu Dzar RA berkata; Aku bertanya kepada Nabi SAW, amal apakah yang paling utama?". Baginda menjawab: "Iman kepada Allah dan jihad di jalan-Nya". Kemudian aku bertanya lagi: "Pembebasan hamba manakah yang paling utama?". Baginda menjawab: "Yang paling tinggi harganya dan yang paling berharga  bagi tuannya". Aku katakan: "Bagaimana kalau aku tidak dapat mengerjakannya?". Baginda berkata: "Kamu membantu orang yang telantar atau orang bodoh yang tak mempunyai keterampilan ". Aku katakan lagi:: "Bagaimana kalau aku tidak dapat mengerjakannya?". Baginda berkata: "Kamu hindari manusia dari keburukan kerana yang demikian bererti sedekah yang kamu lakukan untuk dirimu sendiri".(HR Bukhari No: 2334) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Amal yang paling utama adalah beriman kepada Allah dan jihad di jalan-Nya.

2.  Pembebasan hamba yang paling utama ialah yang paling tinggi harganya dan yang paling berharga  bagi tuannya (pengorbanan yang paling utama ialah memberi sesuatu yang paling berharga dan disayangi)

3.  Jika tidak berkemampuan menyumbang sesuatu yang paling berharga yang ada pada diri, bantulah orang yang telantar atau lemah.

4.  Jika tidak mampu juga, buatlah sesuatu yang boleh menghindari manusia dari keburukan atau musibah.

Buatlah apa juga amal baik walaupun kecil mengikut kemampuan, moga ia menjadi sedekah untuk diri kita.

18hb Mac  2017
19hb Jamadil Akhir 1438H


Khamis, 16 Mac 2017

Sayangi yang muda Hormati yang tua.



1 Hari 1 Hadis:
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sayangi Yang Muda Hormati Yang Tua

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو يَرْوِيهِ قَالَ ابْنُ السَّرْحِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيَعْرِفْ حَقَّ كَبِيرِنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Dari Abdullah bin Amru ia meriwayatkan; Ibnu As Sarh berkata; dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Siapa yang tidak menyayangi orang yang kecil di antara kami dan tidak mengerti hak orang yang lebih besar di antara kami, maka ia bukan dari golongan kami." (Abu Daud No: 4292) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:

1.  Islam mengajar umatnya saling menyayangi dan menghormati orang lain.

2.  Sayangi orang yang lebih muda dari kita dan hormati yang lebih tua.

3.  Hormati orang tua antaranya:

a.  Memanggil dengan gelaran serta panggilan yang baik
b.  Bercakap dengan sopan santun
c.  Berjalan dibelakang atau di sisi bukan dihadapan orang tua
d.  Meminta laluan jika melintasi orang tua
e.  Jika dinasihati, dengar dengan baik walaupun kita mungkin tidak bersetuju

4.  Menyayangi yang muda antaranya:

a.  Memberi contoh yang baik
b.  Menasihatkan dengan cara yang baik jika dia melakukan kesalahan atau kesilapan
c.  Ajarlah serta bimbing mereka dengan cara yang terbaik
d.  Jangan mengherdik atau memaki hamun jika dia melakukan kesilapan
e.  Hargailah sesuatu yang telah dilaksanakan walaupun kecil
f.  Elak dari merendah dan meremehkan apa yang dilakukan oleh mereka

5.  Rasulullah tidak mengaku sebagai umatnya kepada orang yang tidak menyayangi yang muda dan tidak menghormati yang tua.

16hb Mac  2017
17hb Jamadil Akhir 1438H


Rabu, 15 Mac 2017

Ziarahi Pesakit Seumpama Beranda Di Taman Syurga.




1 Hari 1 Hadis:
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ziarahi Pesakit Seumpama Berada Ditaman Syurga

عَنْ أَبِي أَسْمَاءَ الرَّحَبِيِّ عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَزَلْ فِي خُرْفَةِ الْجَنَّةِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا خُرْفَةُ الْجَنَّةِ قَالَ جَنَاهَا

Dari Abu Asma' Ar Rahabi dari Tsauban  (hamba) Rasulullah SAW dari Rasulullah SAW baginda bersabda: "Apabila seorang muslim mengunjungi saudaranya sesama muslim yang sakit, maka orang itu sentiasa berada dalam sebuah taman syurga. Baginda ditanya; Bagaimana taman syurga itu? Baginda menjawab: 'Taman yang penuh dengan buah-buahan yang dapat dipetiknya.' (HR Muslim No: 4660) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menziarahi orang sakit adalah salah satu daripada tanggung jawab kita bagi menyempurnakan hak saudara Muslim.

2.  Orang yang menziarahi orang sakit seolah-olah ia berada dalam sebuah dari taman di syurga.

3.  Apabila menziarahi orang sakit, doakanlah ia.  Rasulullah mengajar doa ketika menziarahi orang sakit (HR Bukhari No: 5243)

أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اِشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

"ADZHIBIL BA'SA RABBAN NAASI ISYFII WA ANTA SYAAFI LAA SYIFAA'A ILLA SYIFAAUKA SYIFAA'A LAA YUGHAADIRU SAQAMA"

(Hilangkanlah penyakitnya wahai Tuhan sekalian manusia, sembuhkanlah wahai zat Yang Maha Menyembuhkan, tidak ada yang dapat menyembuhkan melainkan kesembuhan dari-Mu, iaitu kesembuhan yang tidak membawa rasa sakit)

Tunaikanlah tanggungjawab kita untuk menziarahi sahabat yang sakit dan doakan kesembuhan kepadanya.

15hb Mac 2017
16hb Jamadil Akhir 1438H


Selasa, 14 Mac 2017

Keutamaan Menziarahi Kerabat @ Sahabat.




1 Hari 1 Hadis:
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Keutamaan Menziarahi Kerabat @ Sahabat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ رَجُلًا زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى فَأَرْصَدَ اللَّهُ لَهُ عَلَى مَدْرَجَتِهِ مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ قَالَ أَيْنَ تُرِيدُ قَالَ أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ قَالَ هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا قَالَ لَا غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ فَإِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكَ بِأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ

Dari Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, "Pada suatu ketika ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di kampung lain. Kemudian Allah pun mengutus malaikat untuk menemui orang tersebut. Ketika orang itu ditengah perjalanannya ke kampung yang dituju, maka malaikat tersebut bertanya; 'Hendak pergi ke mana kamu? ' Orang itu menjawab; 'Saya ingin menjenguk saudara saya yang berada di kampung lain.' Malaikat itu terus bertanya kepadanya; 'Apakah kamu mempunyai satu perkara yang menguntungkan dengannya? ' Laki-laki itu menjawab; 'Tidak, saya hanya mencintainya kerana Allah Azza wa Jalla.' Akhirnya malaikat itu berkata; 'Sesungguhnya aku ini adalah malaikat utusan yang diutus untuk memberitahu kepadamu bahwasanya Allah akan senantiasa mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana Allah.' (HR Muslim No: 4656) : Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mengasihi orang lain dengan sifat rahmah sama ada kerabat ataupun sesama Muslim adalah suatu tuntutan.

2.  Salah satu cara cinta dan mengasihi sahabat ialah dengan menziarahi mereka.

3.  Allah mengasihi dan mencintai seseorang yang menziarahi saudaranya semata-mata kerana cinta dan kasih kerana Allah.

 Marilah kita merapatkan silaturahim sesama kerabat dan mengukuhkan ukhuwah sesama kita antaranya dengan saling menziarahì dan bertanya khabar.

14hb Mac  2017
15hb Jamadil Akhir 1438H


Sabtu, 11 Mac 2017

Pengadu Domba Tidak Akan Masuk Syurga.



1 Hari 1 Hadis:
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pengadu Domba Tidak Masuk Syurga

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ

Dari Hudzaifah RA berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang suka mengadu domba'." (HR Muslim No: 151) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim perlu memperlihatkan akhlak mulia  dan saling mengasihi.

2.  Muslim dilarang menjadi pengadu domba, penghasut dan berperanan mencerai beraikan hubungan ukhwah sesama Muslim.

3.  Tidak akan masuk syurga orang yang menjadi pemfitnah dan pengadu domba.

Jadilah kita orang yang menyembunyikan aib saudaranya, bukan pengadu domba. Berusahalah mengeratkan hubungan ukhwah sesama kita.

11hb Mac  2017
12hb Jamadil Akhir 1438H


Isnin, 6 Mac 2017

Setiap Kebaikan Adalah Sedekah



1 Hari 1 Hadis:
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Setiap Kebaikan Adalah Sedekah

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلُّ مَعْرُوفٍ صَدَقَةٌ وَإِنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ وَأَنْ تُفْرِغَ مِنْ دَلْوِكَ فِي إِنَاءِ أَخِيكَ

Dari Jabir bin Abdullah ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Setiap kebaikan adalah sedekah. Dan di antara bentuk kebaikan adalah kamu menjumpai saudaramu dengan wajah yang menyenangkan. Dan kamu menuangkan air dari baldimu ke dalam bejana milik saudaramu." (HR Tirmizi No: 1893) Status: Hadis Hasan Sahih 

Pengajaran:

1.  Setiap kebaikan yang dilakukan walau sekecil mana ia adalah sedekah dan mendatangkan pahala
2.  Sedekah mencakupi aspek harta,  tenaga, usaha dan, tindakan yang telus dan ikhlas dalam usaha melebarkan manfaat buat diri, masyarakat dan makhluk alam yang lain. 

3.  Antara bentuk kebaikan apabila seseorang berwajah ceria dan memberikan senyuman kepada sahabat yang ditemui. 

4.  Menolong orang lain dengan menuangkan air dari bekas miliknya ke dalam bekas milik saudaranya,  itu juga sedekah

Lakukanlah kebaikan semampu kita. Moga ia menjadi pahala diakhirat.

06hb Mac  2017
07hb Jamadil Akhir 1438H

Jumaat, 3 Mac 2017

Cerpen

Salam Jumaat.

Bukan mudah untuk menulis. Tetapi kepada yang dah biasa menulis, keinginan itu tak mampu di bendung. Selagi tak terluah selagi itulah hidup bagai ada yang tak kena.


Khamis, 2 Mac 2017

Tiga Sifat Mendapat Jaminan Syurga



1 Hari 1 Hadis:
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tiga Sifat Mendapat Jaminan Syurga

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا زَعِيمٌ بِبَيْتٍ فِي رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا وَبِبَيْتٍ فِي وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإِنْ كَانَ مَازِحًا وَبِبَيْتٍ فِي أَعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ

Dari Abu Umamah ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Aku akan menjamin rumah di tepi syurga bagi seseorang yang meninggalkan perdebatan meskipun dia benar. Aku juga menjamin rumah di tengah syurga bagi seseorang yang meninggalkan pendustaan meskipun bersifat gurau, Dan aku juga menjamin rumah di syurga yang paling tinggi bagi seseorang yang berakhlak baik." (HR Abu Daud No: 4167) Status: Sanad Sahih

Pengajaran:

Rasulullah memberikan jaminan syurga kepada mereka yang memiliki sifat-sifat berikut:

1.  Meninggalkan perdebatan walaupun dia dipihak yang benar. 

a.  Orang yang berdebat @ berbantah-bantahan, akan berusaha mengalahkan lawannya dengan berbagai cara seperti mencela, memperleceh dan menghina lawannya dan menunjukkan keegoan untuk mempertahankan pandangannya.

b.  Tidak semua perdebatan dilarang. Contoh yang dibenarkan ketika mempertahankan aqidah. Walaubagaimanapun berdiskusi itu lebih baik.

2.  Meninggalkan perbuatan berbohong meskipun bersifat gurauan. 
(Islam menuntut kejujuran dalam pertuturan mahupun penulisan)

3.  Berakhlak baik
(Berbudi pekerti mulia ketika berinteraksi dan  berhubungan dengan kawan dan lawan)

Milikilah sifat yang Rasulullah SAW memberi jamin syurga. Orang yang meninggalkan perdebatan, rumahnya ditepi syurga. Orang yang meninggalkan pendustaan, rumahnya ditengah syurga. Orang yang berakhlak baik, rumahnya paling tinggi di syurga.

02hb Mac  2017
03hb Jamadil Akhir 1438H

Rabu, 1 Mac 2017

Respect Other's Desicions


Kenapa ada yang menjual nasi lemak tepi jalan setiap hari tapi tetap tak buka kedai? Sebab dia selesa begitu. Tak suka nak fikir masalah yang complicated. Kenapa ada yang jadi doktor walaupun gaji tidak setimpal tenaga dan masa yang dikorbankan? Sebab passion. Happy bila tengok pesakit baik semula. Kenapa ada yang setia menjala ikan setiap pagi? Sebab hanya itu yang dia tahu. Seronok dapat ikan banyak.

Jangan paksa orang jadi kaya. Jangan sombong dalam kata seolah semua manusia kena kaya dan berharta. Seolah yang memilih 'makan gaji' itu tidak berjiwa besar atau taknak maju dalam hidup. Seolah yang berniaga kecil-kecilan itu takde apa nak dibanggakan. Seolah yang memilih menjadi surirumah tangga sepenuh masa itu 'loser'. Seolah bila bergelar jutawan itu baru definisi kaya dan berjaya.

Kebahagiaan dan rasa cukup manusia itu berbeza. Keperluan dan kehendak manusia itu berbeza. Allah mencipta manusia itu berbeza. Minat berbeza. Kudrat berbeza. Kepakaran berbeza. Pengetahuan berbeza. Latar belakang berbeza. Sihat sakit berbeza. Kerana semua memerlukan antara satu sama lain.

Kalau hari ini kita rasa kita hero, jangan lupa esok kita boleh jadi zero. Hanya dengan KUN FAYAKUN. Buang sombong dan rasa besar dalam diri tu. Tidak memiliki itu sebuah ujian. Memiliki sesuatu juga sebuah ujian-- yang lebih hebat, yang lebih halus. Optimis itu bagus; cuma jangan sampai riak, takabbur, tidak menjaga silaturrahim. Jangan lupa asal usul kita. Semuanya asal dari tanah, dan ke tanah juga kita akan kembali. Apa yang kita ada hari ni, semuanya akan kita tinggalkan. Tak ada satu pun kita akan bawa bersama. Hanya satu yang bernama taqwa.

Respect other's decision.
Embrace diversity.
Pesanan buat diri sendiri.


NetKL Network

Catatan Popular