Aku peduli apa!

"Sebelum ni saya pernah bekerja sebagai wartawan politik. Tapi lepas tu saya berhenti. Tak sanggup rasanya nak terus melaporkan B sedangkan yang berlaku sebenarnya A. Saya terfikir-fikir tentang halal dan haram rezeki saya."

Ringkas mukadimah pengenalan diri yang diberi oleh seorang peserta Bengkel Penulisan yang baru saya hadiri. MasyaAllah. Menitik airmata saya. Memang benarlah. Allah hanya memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki sahaja.

Saya tidak mahu mengulas tentang wartawan. Benar atau tidak laporan mereka. Halal atau haram rezeki mereka. Kita semua mungkin punya persepsi tersendiri dan mungkin ada yang terus berkata.. Aku peduli apa?

Fokus saya tentang hidayah Allah. Dia yang memberi ilham kepada hamba-Nya untuk berfikir dan bermuhasabah.

Tentang apa yang kita buat selama ini, betul atau tidak?
Tentang rezeki yang kita terima halal atau tidak?
Tentang tanggungjawab yang kita galas, berjaya atau tidak kita laksanakannya?

Adakah kita terpilih untuk menjadi seorang pemikir yang mula berhati-hati dan cuba memperbaiki diri dari masa ke semasa atau kita seorang yang dilupakan Allah hingga terus berkata.. Aku peduli apa?!!

Bercakap soal rezeki, saya terkenang seorang sahabat yang punya tempat hebat di sebuah bank terkemuka. Tersentak saya bila dikhabarkan bahawa dia akhirnya memilih untuk berhenti kerja dan menjadi 'petani' berjaya. Laman rumahnya yang sekangkang kera mula dipenuhi dengan tanaman hidroponik.. Itulah dunia barunya dan dia tampak tenang dan bahagia.

Kenapa berhenti?
Kan pangkat sudah besar dan gaji sudah tinggi?
Dia kata..
Fikirannya runsing memikirkan soal riba yang terpaksa diuruskan setiap hari.

Di mana keberkatan hidupnya kalau setiap hari Allah mengisytiharkan perang?
Mustahil dia boleh menang!! Allahu akbar! Terkedu saya.

Betapa ramai orang yang terus bergelumang dengan riba dan menimba rezeki dengan kerjaya sepertinya, namun Allah memilihnya untuk diselamatkan.
Rasa bersalah, rasa bimbang yang menyesakkan fikirannya menjadi asbab untuk dia keluar dari 'syurga dunia' dan bermujahadah mengejar syurga yang sebenarnya.
Indahnya hidayah Allah.

Lihat diri kita juga. Adakah kita juga terpilih untuk terus berhati-hati dalam setiap urusan yang kita hadapi atau kita seorang yang terus dan terus berkata.. Aku peduli apa?!!

"Dan Kami tutup mereka dari melihat (kebenaran). Sama sahaja bagi mereka, apakah kamu memberi peringatan atau kamu tidak memberi peringatan, mereka tidak akan beriman. Kamu hanya memberi peringatan kepada orang yang mahu mengikut peringatan yang takut kepada Tuan Yang Maha Pemurah walau dia tidak melihat-Nya. Maka berilah khabar gembira kepadanya dengan keampunan Allah. "
(Surah Yaasin. Ayat 11)


Bonda Nor



posted from Bloggeroid

Ulasan

Aizuddin Azmi berkata…
Salam,

Industri kewangan/perbankan konvensional memang tak asing lagi dengan unsur riba. Apa pendapat saudari tentang pendapatan perunding Takaful atau perunding Unit Amanah dari segi hukum?

Sekian, Wassalam.
GreenAppleKu.com berkata…
Aizuddin, boleh rujuk sini http://zaharuddin.blogspot.com/2011/01/perbankan-islam-wang-kertas-back-door.html#uds-search-results