IBUNDA'S DELIGHT

Jumaat, 27 April 2012

Ketelanjuran kali pertama jangan disusuli oleh kesengajaan kali kedua.


Kejahatan itu bukan satu kebetulan. Ia adalah satu kebiasaan yang terbentuk perlahan-lahan, tahap demi tahap. Pertama kali terbuat dosa, hati akan diburu rasa bersalah. Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Kesalnya bukan main. Sesalnya sungguh merimaskan. Rasa bersalah itu memang resah. Benarlah seperti yang sering diungkapkan, bila manusia berdosa dia bukan sahaja nenentang Allah tetapi juga menentang dirinya sendiri.

Namun rasa berdosa itu tidak lama. Jika dosa yang sama dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya… rasa bersalah itu akan hilang. Sedikit demi sedikit. Lalu akhirnya, hati itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah tidak muncul lagi. Ia sirna dimamah oleh dosa demi dosa. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan… tetapi di tahap kedua ini, tiada air mata lagi. Alah bisa tegal biasa. Hati telah tega untuk berdosa.

Dosa itu racun yang disalut kemanisan. Dosa yang dilazimi tidak akan terhenti kesannya pada hati. Dari tahap terbiasa dengan dosa, kederhakaan meningkat lebih parah lagi. Tibalah hati pada tahap ketiga, yakni seronok dan rasa indah dengan dosa. Diri sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukannya. Rasa ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran, mencengkam hati dan diri. Racun dosa terasa nikmatnya. Tiada lagi rasa bersalah. Bisa dosa yang terbiasa menjelma menjadi fatamorgana nikmat yang tiada taranya.

Nafsu tidak pernah puas. Kehendaknya tiada batas. Syaitan tidak pernah tidur. Usahanya tidak pernah kendur. Lalu apabila syaitan meluncur laju di lebuhraya nafsu, diri yang seronok dengan dosa itu dirasuk untuk ’maju’ setapak lagi. Itulah tahap ke-empat yang lebih dahsyat dan sesat. Keseronokan dosa menjadi siberdosa itu menjadi pembela dan pejuangnya. Dosa dipromosi dan dihiasi sebagai jalan kebenaran dan denai keindahan. Jangan ada pembela agama yang bercakap tentang akhirat dan kiamat… pejuang dosa itu pun bangun menentangnya dengan seluruh upaya dan kudrat. 

Justeru wahai diri, berhati-hatilah dengan dosa. Jangan tertipu oleh kecil atau remehnya suatu kederhakaan. Ingat, tusukan dosa bukan seperti belati yang membunuh tiba-tiba, tetapi ia umpama api dalam sekam yang membara dalam diam. Ketelanjuran kali pertama jangan disusuli oleh kesengajaan kali kedua. Kelak akan menyusul perancangan dan perjuangan atas nama dosa.

Wahai diri… ketika rasa bersalah singgah di dalam hati pada kali pertama kau berdosa, ketahuilah itu adalah ’peringatan’ yang Allah bekalkan secara tabii untuk menjaga fitrah insani. Itu petanda yang hatimu masih hidup. Penyesalan itukan syarat taubat? Maka susulilah dengan syarat kedua dan ketiga (jika dosa itu dengan Allah). Jika dosa itu dengan manusia, tambahlah lagi dengan syarat yang keempat. Tidak mengapa jika kau terlanjur lagi berdosa selepas itu. Bertaubatlah kembali. Hatimu akan hidup lagi. Selagi ada rasa bersalah, selagi itulah ada sarana untuk kembali kepada Allah. Jangan putus asa oleh taubat yang patah, kerana kasih-sayang Allah akan menumbuhkan taubat kali kedua, ketiga dan seterusnya.

Wahai diri, biarlah dirimu jatuh bangun, merangkak tegak, dalam taubat demi taubat yang tidak ‘menjadi’ berbanding larian dosa yang maju dan laju tanpa henti-henti. Lebih baik terbentur, daripada patah. Lebih baik hatimu selalu terdera oleh rasa berdosa sepanjang hayat, daripada tertipu oleh ‘nikmatnya’ yang menyebabkan siksa selamanya di akhirat.

Wahai diri, ingatlah… sekalipun kau terhijab daripada mengecapi nikmat ketaatan, tapi jangan sampai kau tertipu oleh nikmat kejahatan. Berhati-hatilah menjaga hati. Tidak mengapa kau selalu menangis kerana dosa… tetapi jangan sampai kau tersenyum kerananya! Ingatlah selalu, kejahatan yang menyebabkan kau menangis, lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur!


Tip bercinta sampai syurga.


Peraturan cinta itu apa?

Ia adalah syariat – hukum halal (wajib), haram, sunat, makruh dan harus. Jangan dilanggar yang haram kerana cinta. Jangan diabaikan yang wajib kerana cinta. Manakala yang makruh dan sunat dipulangkan kepada kebijaksanaan dan kewarakan untuk membuat atau meninggalkannya. Percayalah, kemanisan dengan menempuh jalan yang haram, akan berakhir dengan kepahitan. Percayalah, kepahitan yang dirasai kerana menjaga yang wajib pasti membuahkan kemanisan yang berkekalan. :)

Sedarlah sentiasa bahawa cinta itu adalah “hadiah” daripada Allah. Justeru, jangan sekali-kali kita terleka dengan hadiah sehingga melupakan Pemberi hadiah (Allah). Cinta sesama makhluk jangan sampai mengatasi cinta kepada Allah. Cinta bukan Tuhan. Ia hanya hadiah daripada Tuhan. Malangnya, dalam cerita-cerita cinta versi Barat dan Timur, kerap kali dipaparkan seolah-olah cinta itu “Tuhan”.

Lihat, bagaimana Bollywood “mengajar” generasi muda tentang penyimpangan cinta. Secara halus cinta seolah-olah “dinobatkan” sebagai Tuhan. Demi cinta yang suci (kononnya), agama, ibu-bapa, sanak-saudara rela ditinggalkan. Seolah-olah cinta itulah yang paling agung dan utama daripada segala. Hidup merana, menderita malah sanggup mati kerana cintakan kekasih dianggap sikap yang mulia dan suci. Padahal, cinta sesama manusia itu hanya “alat” bukan matlamat. Cinta sesama manusia hanyalah alat untuk mendapat cinta Allah (matlamat). Jadi, untuk menjaga kesucian cinta… jadikanlah cinta Allah sebagai dasar untuk mencintai manusia.

Ingat selalu, untuk bercinta sampai ke syurga di akhirat jadilah rumah tangga kita “syurga” di dunia – Baiti Jannati. Muhasabah selalu bersama isteri atau suami apakah rumah tangga sekarang sudah layak digelar “syurga”? Jika belum, berusahalah. Bermujahadahlah. Berkorbanlah. Pandang muka isteri (atau suami), pandang seorang demi seorang anak-anak kita… Ucapkan pada diri, “tidak akan aku biarkan seorang pun daripada kamu terpisah di akhirat nanti. Kita semua akan berkumpul sekali lagi… abadi di syurga nanti. Insya-Allah. Amin.”

Cinta sampai syurga… jangan melupakan cinta Allah. Jangan dilanggar syariat-Nya. Jika sudah tercemar, gilap kembali agar bersinar. Insya-Allah, akan ada “Arafah” cinta kita. Akan ada syurga kita!

Tip bercinta sampai syurga.
  • Dahulukan hak Allah daripada hak pasangan kita.
  • Sentiasa bekerjasama untuk membuat kebaikan dalam rumah tangga dan masyarakat.
  • Sama-sama saling ingat mengingatkan agar menjauhi kemungkaran.
  • Rela berkorban kesenangan sesama pasangan demi bakti sesama manusia.
  • Berdoa dan bersedekah sebagai wasilah mengekalkan cinta.



Khamis, 26 April 2012

Mengharapkan penghargaan dari insan ? Lupakan :)



" Keyakinan kepada Hari Akhirat sangat penting ketika kita hidup di dunia. Itulah pendorong untuk terus melakukan kebaikan walaupun tidak mendapat penghargaan insan. Itulah perisai untuk tidak melakukan kejahatan walaupun terlindung daripada pandangan manusia."

Ustaz Pahrol Mohd Juoi.

Bukan merajuk apatah lagi berjauh hati sesama insan. Namun hati ini lebih tenang dan fikiran lebih 'cool' setelah setiap perkara yang hendak dilakukan, di niatkan KERANA ALLAH.

Tiada istilah 'kaki bodek', 'tukang kipas', 'talam dua muka' dan pelbagai lagi istilah negatif yang digunapakai untuk menunjukkan diri terbaik di mata insan lain. Boleh tenangkah hidup dalam kehidupan yang sedemikian ? 



Rabu, 25 April 2012

Kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia.



Kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. 

Pegang kata-kata itu. Impilikasinya, untuk kita bahagia, carilah orang yang paling hampir dengan kita dan bahagiakanlah mereka. Hanya setelah itu, barulah kita akan merasa bahagia. Sesungguhnya bahagia itu bukan “benda” yang akan berkurang bila diberikan, tetapi ia umpama cahaya yang semakin “diberikan” akan bertambah terangnya. Kata bijak pandai, dengan menyalakan lilin orang lain, lilin kita tidak akan padam… tetapi kita akan mendapat lebih banyak cahaya. 

Siapakah orang yang paling hampir? Siapakah yang paling layak kita berikan bahagia? Selain kedua ibu-bapa (bagi seorang lelaki), maka isterinyalah yang paling utama diberikan kebahagiaan itu. Jika isteri yang di sisi tidak bahagia, jangan harap kita boleh membahagiakan orang lain. Dan paling penting, jika isteri sudah menderita itu juga petanda yang kita juga menderita – ingat, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia.

Sesetengah bertanya? Bagaimana kita boleh menghargai pasangan kita. Insya-Allah, bila ada kemahuan pasti ada jalan. Dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan. Kata orang, kasih, cinta dan sayang umpama aliran air, sentiasa tahu ke arah mana ia hendak mengalir. Mulakan dengan memandangnya dengan pandangan kasih… mungkin wajah isteri kita sudah kedut, tetapi rasakanlah mungkin separuh “kedutan” itu kerana memikirkan kesusahan bersama kita. Mungkin uban telah penuh di kepala suami kita, tetapi uban itu “mercu tanda” pengorbanannya membina rumah tangga dan keluarga kita.

Itulah pandangan mata hati namanya. Kalau dulu semasa awal bercinta, pandangan kita dari mata turun ke hati. Tetapi kini setelah lama bersama, pandangan kita mesti lebih murni. Tidak dari mata turun ke hati lagi, tetapi sudah dari hati “turun” ke mata. Yang kita lihat bukan “body” tetapi budi. Yang kita pandang bukan urat, tulang dan daging lagi… tetapi suatu yang murni dan hakiki – kasih, kasihan, cinta, sayang, mesra, ceria, duka, gagal, jaya, pengorbanan, penderitaan – dalam jiwanya yang melakarkan sejarah kehidupan berumah tangga bersama kita!

Daripada pandangan mata hati itulah lahirlah sikap dan tindakan. Love is verb – cinta itu tindakan. Kata penyair bila sudah cinta, ingin dipintal awan-gemawan untuk dijadikan kerosang di dada isteri, ingin dijadikan rembulan untuk menjadi lentera teman beradunya, mentari sebagai sinar dalam duka dan nestanya… Ah, kita tidak payah mengajar cara apabila sudah cinta. Kerana dalam cinta itu sudah menyala kemahuan.

Mungkin sikaya pulang bersama cincin permata untuk menghargai siisteri. Atau petani hanya membawa sebiji mangga untuk dimakan bersama sang “permaisuri”. Buruh yang pulang bersama keringat disambut senyuman dan dihadiahkan seteguk air sejuk oleh isteri tentunya lebih bahagia dan dihargai oleh seorang jutawan yang disambut di muka pintu villanya tetapi hanya oleh seorang “orang gaji”. Begitulah ajaibnya cinta yang dicipta Allah, ia hanya boleh dinikmati oleh hati yang suci. Ia terlalu mahal harganya. Intan, permata tidak akan mampu membeli cinta!

Hargailah sesuatu selagi ia masih di depan mata. Begitu selalu pesan cerdikiawan dan pujangga. Malangnya, kita selalu lepas pandang. Sesuatu yang ‘terlalu’ dekat, kekadang lebih sukar dilihat dengan jelas. Isteri di depan mata, tidak dihargai. Kajian menunjukkan bahawa para suami di Amerika lebih banyak meluangkan masa menonton TV daripada bercakap dengan isteri. Di sini apa kurangnya, tiga jam menonton TV bersama tanpa sepatahpun berbual. Suami dan isteri sibuk melayani fikiran sendiri walaupun duduk hanya berselang beberapa inci.

Malah, bila berjauhan pun kekadang terlalu lokek bertanyakan berita. Jika duduk berjauhan, masa berSMS dengan teman lebih banyak berbanding dengan isteri. No news is a good news. Begitu selalunya, rasa di hati. Tetapi bila isteri atau suami diserang “sakit” – katalah hilang keupayaan bercakap dan bergerak, maka ketika itu puaslah kita menangis kerana tidak dapat mendengar suaranya lagi. Waktu itu barulah duduk di tepi katil hospital, merenung mata isteri atau suami kita yang berkelip-kelip, tanpa kata, tanpa suara…

Hidup terlalu singkat. Hidup hanya sekali. Yang pergi tak kan kembali. Yang hilang, mungkin tumbuh lagi… Tetapi tidak semua perkara akan tumbuh semula. Apakah ibu-bapa yang ‘hilang’ akan berganti? Apakah anak, isteri, suami yang ‘pergi’… akan pulang semula? Jadi, hargailah semuanya selama segalanya masih ada. Pulanglah ke rumah dengan ceria, tebarkan salam, lebarkan senyuman. Mungkin esok, anda tidak ‘pulang’ atau tidak ada lagi sidia yang setia menunggu di sebalik pintu. Mungkin anda ‘pergi’ atau dia yang ‘pergi’. Hargailah nyawa dan kehidupan dengan sayang dan cinta. Kita tidak akan bahagia, selagi orang di sisi kita tidak bahagia!




Selasa, 24 April 2012

Islam bukan seperti matematik!!

TQ to Google..



































" Sesetengah orang menganggap, bila bertudung sahaja dah di kira halal tetapi lupa pada tangan yang terdedah, lengan yang terdedah, dada yang terdedah, pakaian yang ketat. Pakai tudung nampak tengkok sama hukum dengan orang yang tidak memakai tudung. Lebih baik jangan pakai tudung. 

Islam bukan seperti matematik. 80 keatas A. 80 kebawah B. Begitu jugalah dalam bab aurat. Kalau Allah kata HARAM, HARAM lah. Kalau Allah kata WAJIB, WAJIB lah. " 

~ Ustaz Kazim Elias ~ ( <- klik untuk dengar ceramah ustaz)


Isnin, 23 April 2012

Jangan biarkan tragedi silam menyakitkan kita dua kali.




Jangan biarkan tragedi silam menyakitkan kita dua kali. Sekali sewaktu kita mengalaminya, kedua sewaktu kita mengenangnya. 

Selepas mengambil pengajaran daripadanya, ayuh lupakan. Tidak ada kejayaan untuk mereka yang tidak bermula pada hari ini. Semalam berakhir pada malam semalam. Orang yang sering diganggu masa silam tidak akan mampu melangkah ke hadapan. 

Apabila ditanya bilakah kita akan bahagia... Jawablah, hari ini!

Nukilan : Ustaz Pahrol Mohd Juoi.


Ahad, 22 April 2012

APA GUNA...































Apa guna menjaga penampilan untuk tampil cantik, up to date, terkini, stylo di mata manusia sehingga tidak menutup aurat TETAPI lupa menjaga penampilan kita di sisi Allah. 






Sabtu, 21 April 2012

JIKA BERSEDIH...





























Jika bersedih dan lemah semangat, carilah kembali semangat tersebut di sebalik penciptaan alam ini. Ini kerana di sebalik alam ini tersirat kasih sayang Allah terhadap makhluk-Nya. Sanggupkah kita menjadi insan yang lemah longlai dan tidak bermaya, sedangkan Allah telah membekalkan segala kemudahan buat hamba-Nya? Itulah bekal untuk menjadi hamba dan khalifah terbaik.






Jumaat, 20 April 2012

Life begin at forty?



GreenAppleKu : Kata orang, life begin at forty. Iyer ker? Ehrmm.. pada pendapat saya, kehidupan kita bermula sebaik sahaja kita di beri peluang oleh Allah untuk hidup di dunia ini. Buat yang terbaik selaras dengan tuntutan Islam. Tidak perlu tunggu umur cecah 40 baru nak berubah. Artikel dari Ustaz Pahrol Mohd Juoi mengenai isu ini, saya arkibkan di dalam blog ini.



Namun, ganjaran selalu datang beriringan dengan ancaman. Bagi mereka yang bertangguh-tangguh, ada hadis “mengancam”. Antaranya, Rasulullah SAW bersabda:

” Barang siapa yang telah mencapai umur 40 tahun tetapi kejahatannya masih mengatasi kebaikannya maka bersiap-siaplah masuk ke neraka.”

Hadis tersebut bukan bererti “menutup pintu taubat sebelum masanya”, tetapi hanyalah ancaman buat mereka yang tidak menghargai nyawa (masa).

Seseorang ‘Asi (pendosa) yang telah melangkaui usia 40 tahun, dikira sudah liat dan keras untuk membuat “pusingan U” dalam hidupnya. Nafsunya telah begitu buas untuk dijinakkan walaupun mungkin sudah kehilangan tenaga untuk melakukan kejahatan. Jadi, berhati-hati sebaik mencapai usia akil baligh (sekitar 15 tahun bagi lelaki dan lebih awal daripada itu bagi seorang wanita), wisel “perlumbaan” menuju Tuhan telah pun ditiup. Larian menuju Allah telah pun dimulakan.

Pukul rata umat nabi Muhammad SAW ialah sekitar 63 tahun (mengikut satu hadis). Justeru, bolehlah dikatakan umur 40 tahun ialah tempoh seorang mencapai tahap “kelelahan” dalam perlumbaan itu. Sedangkan menurut psikologi Barat, ‘hidup bermula pada umur 40 tahun – Life begin at forty.”

Jadi kita di mana? 

Apakah kita rasa umur 40 tahun itu telah “di hujung” atau masih baru bermula? Ramai juga yang terpengaruh dengan fahaman Barat hingga tergamak mengatakan, masa muda tidak mengapa “terbuat” jahat, nanti tua baru bertaubat? Pada hal menurut Imam Ghazali, kejahatan itu tumbuh dalam diri manusia umpama akar sepohon kayu,yang semakin lama dibiarkan semakin kukuh ia mencengkam. Kalau hendak “mencabut” kejahatan daripada seseorang, cabutlah pada usia mudanya kerana bila sudah tua akar kejahatan itu sudah mencengkam dan sukar untuk diungkai!

Di padang Mahsyar nanti, antara satu soalan daripada empat soalan yang Allah akan tanya ialah, “ke mana umur muda mu dihabiskan?”. Tuhan tidak bertanyakan umur tua. Ini menunjukkan betapa bernilainya masa muda berbanding tua. Sehubungan dengan itu Nabi Muhammad SAW juga telah mengingatkan dalam sebuah hadisnya:

“Pergunakanlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat, sebelum sakit. Masa muda sebelum tua. Masa lapang sebelum sibuk. Masa kaya sebelum miskin. Masa hidup sebelum mati."

Jika kita benar-benar sedar hakikat ini, seharusnya, tidak timbul soal bertangguh, membuang masa dan membazir waktu dalam kehidupan.



Khamis, 19 April 2012

Bersediakah anda untuk 'bercouple' secara sah?






Kerana berat tanggungjawapnya.

Bagi suami yang meninggalkan solat, maka tidak boleh isteri memukul suami tetapi boleh nasihat dan tidak akan dipertanggungjawabkan di akhirat. 


Adapun sekiranya isteri yang meninggalkan solat maka suami WAJIB nasihat kalau tidak mahu solat juga, WAJIB pukul (bukan sampai patah, jangan pula sepak terajang hanya sekadar yang dibenarkan) dan suami akan dipertanggungjawabkan di akhirat sekiranya suami tidak menegur, menyuruh dan memukul isteri sekiranya isteri tidak solat.


Ini baru bab solat, belum lagi berbicara bab menutup aurat. Ada suami yang tidak kisah isteri tidak menutup aurat malah berasa bangga jika ada yang memuji betapa cantik, seksi dan 'stylo'nya isteri tercinta.


Rabu, 18 April 2012

BUAT KAMU, KAMU, YANG PERNAH KEHILANGAN..






















Kita sangka kita dah sayang seseorang itu sehabis sayang..

tapi..

Allah lebih kasihkan hamba-hambanya yang beriman lebih dari kasih kita kepada seseorang itu.



Tiada siapa dapat lepas dari kematian. Manusia pasti mati dan tidak kekal abadi di dunia.

Kita tiada daya upaya menunda, mendahulukan, atau melewatkan kematian. 

Takut mati bukan dari ajaran agama Islam. Islam menyarankan umatnya bersedia untuk mati. Bukan lari darinya.

Cubalah lari, mati pasti akan mendapatkanmu. Cubalah.

Akhir sekali, pesan untuk diriku sendiri:

Pepatah arab ada menyebutkan, "Segala sesuatu yang pasti akan terjadi, bererti ianya dekat." Kematian itu pula sesuatu yang pasti, maka mati adalah dekat. Malah lebih dekat dari kita mencapai sesuatu sijil, diploma, sarjana, master, PhD. Lebih dekat dari kita berjaya dalam hidup dapat kerja, dapat beli rumah dapat kumpul kekayaan. Malah lebih dekat dari dapat kahwin.



Selasa, 17 April 2012

GADIS...



Kau TINGGAL SERUMAH dengan lelaki bergelar BAPAK, PERKARA BIASA.. 
✿~ Tapi, kau MENINGGALKAN RUMAH demi lelaki bergelar "BALAK", RACUN BERBISA..

Segarang-garang bapak, di hatinya..CINTA TULUS SEMERBAK..
Sejiwang-jiwang balak, di jiwanya..NAFSU RAKUS MEROSAK..


Sabtu, 14 April 2012

KAMU AMAT CANTIK DAN INDAH....

































RUGI bagi seorang LELAKI apabila MELEPASKAN WANITA YANG CANTIK AGAMA DAN AKHLAKNYA kerana terlalu mengejar WANITA YANG CANTIK WAJAHNYA..

KECANTIKKAN akan PUDAR walau cuba dipertahankan, tapi AKHLAK itu hiasan yang KEKAL DAN INDAH pada diri seorang wanita..

Wanita itu cantik dan indah tetapi HINA jika TERDEDAH 



Jumaat, 13 April 2012

KORBAN CINTA- MADE IN NIGERIA




Menjadi 'trend' dan kebanggaan sesetengah wanita dan isteri orang bila dapat ber'couple' dengan warga Nigeria. Apa kurangnya suami di rumah? Apa kurangnya rakyat Malaysia? 

"Perkenalan dengan Charles membuat saya berasa diberikan perhatian dan sangat dihargai. Yes, I knew from the beginning he was a sweet talker but I don't know why I didn't care all that." klik untuk cerita penuh.

Itu adalah pengakuan dari bekas kekasih warga nigeria. Semata-mata hanya inginkan perhatian dan rasa di hargai. 

Mereka (terutamanya isteri seseorang) sedang “sakit”. Tetapi bukan mudah membantu orang sakit yang sentiasa berasa dirinya benar dan sihat. Silap pendekatan, dia jadi semakin menyinga.




Berkasih biar BERAKAL, sayang biar BERPADA, AGAMA jangan ditinggal, KELUARGA dan MARUAH jangan digadai, hanya untuk merasakan agar diri DIHARGAI oleh teman lelaki yang TIDAK HALAL.






Bila PINTU TAUBAT sudah DITUTUP, RAYUANMU adalah sia-sia..



Salah satu saat yang PALING INDAH dalam hidup kita adalah saat kita “BERTAUBAT” dan salah satu HADIAH YANG PALING TERINDAH dalam hidup kita adalah ketika “TAUBAT ITU DITERIMA” oleh Allah..

Sungguh MATI itu bila-bila masa sahaja..MALAIKAT MAUT menjalankan tugasnya TANPA LEWAT SESAAT pun, bertaubatlah dan kembalilah pada jalan Allah sebelum ia datang..setiap kecelakaan yang menimpa kita itu adalah TANDA KASIH SAYANG Allah terhadap kita dan ingin MENEGUR kita bahawa KEMATIAN itu suatu yang pasti..

Bila PINTU TAUBAT sudah DITUTUP, RAYUANMU adalah sia-sia..


Khamis, 12 April 2012

Beruntungkah kita di akhir zaman ini?


Umat akhir zaman suka mengikut nafsu daripada mengawal nafsu!


Sebenarnya kita di akhir zaman ini adalah umat yang paling rugi, jika tidak betul-betul mengikut cara Nabi s.a.w dan mengabaikan perintah Allah s.w.t.

Beruntungkah kita umat akhir zaman? Ya, kerana umat Nabi Muhammad s.a.w yang paling mudah meraih ganjaran pahala. Satu kebaikkan yang di lakukan, Allah beri ganjaran pahala 10 kali ganda. Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk meraih kebaikan, amalan soleh, beribadah cara Nabi s.a.w dan ikut perintah Allah secara TOTAL!

MORAL : Beruntungnya kita menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w, umat terakhir yang di dunia, namun yang pertama dihisab di akhirat.


Klik untuk baca part 1, part 2, part 3



Rabu, 11 April 2012

Beruntungkah kita umat Nabi Muhammad S.A.W ? Part 3 ~ TIDAK MAHU BERIMAN KEPADA ALLAH..

Kredit to Rusydee Artz

Laungan azan berkumandang menandakan telah masuk waktu untuk menunaikan solat. Joe 'log out' dari akaun facebooknya. Dia memandang Zack yang masih tekun membalas chat dari rakan-rakan di 'facebook'.

Joe : Stop ler kejap, jom solat. :)

Zack : Nak solat, solatlah! Tak nampak aku busy ni?


Beruntungkah kita umat Nabi Muhammad S.A.W ? 

Dulu umat Nabi Nuh A.S majoritinya tidak mahu beriman kepada Allah. Lalu Allah tenggelamkan dunia dengan banjir besar.

Tetapi sekarang, kita umat Baginda S.A.W, Allah beri peluang untuk kita insaf dan perbaiki diri.


Bersambung part 4, esok.. :)


Klik untuk baca part 1, part 2,



Selasa, 10 April 2012

Beruntungkah kita umat Nabi Muhammad S.A.W ? Part 2 ~ PENGAMAL SEKS BEBAS..

TQ to Rusydee Artz






















Satu malam di bilik hotel bertaraf lima bintang. 

White Rose : Black, aku pregnant…. skk..skk.. (tangisan penyesalan..) 

Black Rose : Arghhhh.. gugurkah! 


Beruntungkah kita umat Nabi Muhammad S.A.W ? 

Kalau dulu atas kesilapan Nabi Adam A.S dan Hawa memakan buah terlarang, mereka terus teraib dan disingkirkan dari syurga. 

Tetapi sekarang, kerana kita umat Baginda S.A.W, Allah tidak mengaibkan terus pada mereka yang membuat PERKARA YANG DI TEGAH DAN DILARANG. Allah beri peluang kita untuk bertaubat!

Bersambung part 3, esok.. :)


Klik untuk baca part 1, 



Isnin, 9 April 2012

Beruntungkah kita umat Nabi Muhammad S.A.W ? Part 1 ~ PENGAMAL SEKSUALITI SONGSANG..

Kredit to Google Picture..






























Beruntungkah kita umat Nabi Muhammad S.A.W ? 

Kalau dulu pada zaman Nabi Lut A.S, kaumnya yang berorentasikan seks luar tabii, Allah azab terus lenyap dari muka bumi. 

Tetapi bagi umat Nabi Muhammad S.A.W, Allah TUNDA dulu azabnya dimuka bumi ini, Allah beri peluang agar pengamal seksualiti songsang ini bertaubat…


Bersambung ke bahagian dua, esok. :)



Jumaat, 6 April 2012

"Bolehkah bersahabat SETIA dengan suami ataupun isteri orang, asalkan menjaga batas-batasnya. ? "



Zack : Siapa Aiman ni? Lain macam jer 'sms'nya? 

Riak wajah Zack mencuka. Tekun Zack menekan sms demi sms. Lisa menelan air liur apabila melihat 'blackberry'nya berada di tangan Zack. Ditambah dengan soalan dari Zack, benar-benar menambah degupan jantung Lisa.

Lisa : Best friends Lisa masa sekolah dulu. Lisa....

Zack : Bila reunion ni. Kenapa tak bagitau abang? Sebelum ni tak macam ni pun. Aiman ni bekas kekasih awak ker? Lain macam jer ayat-ayat 'sms'nya. Sebab tu terpaksa awak merahsiakan reunion kali ni? 

Belum sempat Lisa menjawap, soalan demi soalan terus di lemparkan oleh Zack padanya, menzahirkan sikap tidak puas hati Zack dengan apa yang baru di ketahuinya.

Lisa : Kami berhubung atas dasar persahabatan. Tidak lebih dari tu.

Zack : Sahabat? Jika awak bukan isteri saya, it's ok dan saya pun tidak akan ambil tahu dan malas hendak ambil tahu. Awak sedar ker tak yang awak ni isteri orang? Zack tahu tak yang awak isteri orang?

Lisa : Erk...

Zack : Bila kereta awak rosak? Kenapa tidak beritahu abang? Kenapa mesti beritahu Aiman? Sengaja cari alasan untuk berjumpa ker? Lisa!! Saya suami awak!! Dan suami awak ni bukan jantan dayus yang membenarkan si isteri berkongsi masalah dengan lelaki lain!!

Kali ini Lisa rasa betul-betul nak pitam.


Bersama mencari solusi kepada persoalan ini. 

"Bolehkah bersahabat SETIA dengan suami ataupun isteri orang, asalkan menjaga batas-batasnya. ? "


Khamis, 5 April 2012

CINTA 'HIGH CLASS'




Bukan eksklusif milik sesiapa. Tidak untuk mereka yang berpangkat tinggi atau berkedudukan teratas. Cinta high class berhak di miliki oleh kita semua. Jangan tunggu hingga hari esok. Hari ini juga, cintailah secara high class. Jangan lupa bantu si dia agar mampu mencintai secara high class juga. 

Tunggu! Apakah kriteria cinta high class?

1. Cinta yang mendaulatkan Allah sebagai yang pertama.
2. Cinta kerana Allah.
3. Cinta yang bermujahadah melawan nafsu.
4. Cinta tanpa seteru (menjaga hubungan sesama manusia-hablumminannas)


Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi berpesan mengenai cinta high class ini : "Pernikahan yang baik iaialh pernikahan yang tiada halangan daripada kedua-dua pihak, ibu bapa, adat dan undang-undang."


Cinta bukan hanya melibatkan dua pihak; lelaki dan perempuan sahaja. Cinta yang baik memelihara hubungan yang baik sesama manusia (hablumminannas). 


Fikirkan tentang pernikahan yang berlaku tanpa wali, kahwin lari tanpa restu keluarga dan hubungan bebas sebelum berkahwin. Ia mungkin sah, tetapi adakah ia mencapai tahap high class? Serapkan hablumminannas dalam cinta high class ini, moga-moga insan yang berada di sekeliling akan mendoakan keberkatan dalam rumah tangga yang akan dibina.


Berdoalah agar memiliki cinta yang high class : " Ya Allah, aku memohon cinta-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu serta amalan yang menyampaikan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikan cinta-Mu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan air yang sejuk (ketika panas terik)." (Riwayat al-Tirmizi) 




sumber rujukan : Penulisan Fatima Syarha Mohd Noordin

Rabu, 4 April 2012

BERUSAHA MENCARI JODOH ?



Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.

Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha.

Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.

Jodoh Urusan Allah

“Dan mungkin juga anak itu orang baik tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak baik sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si anak menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk menyelamatkan orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat.”

“Bagaimana pula jika anak itu baik, dan ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik, tetapi urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?” tanya saya inginkan penjelasan muktamad.

“Itulah takdir! Mungkin Allah menentukan ‘orang baik’ lain sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!”

Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh ayahnya Sayidina Umar tetapi ditolak. Akhir Hafsah bernikah dengan Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang yang baik!

“Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah.”

“Apa hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?”

“Eh, abang bukan pakar hikmah! Tetapi mungkin Allah hendak meninggikan lagi darjah dan darjat orang baik ke tahap yang lebih tinggi.”

“Hikmah untuk kita?”

“Jika takdirnya pahit untuk kita, terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang baik dan kita telah pun bernikah dengan pilihan orang yang baik, tetapi jika takdirnya pasangan kita bermasalah… bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi Ayyub atau kesabaran seorang isteri bernama Siti Asiah.”

Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik tulis saya diketuk. Wajah watak “abang bayangan” saya pergi tiba-tiba. Tersedar saya daripada lamunan yang panjang. Wajah isteri terserlah di sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati sendiri, apakah aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?

Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan makna satu ungkapan yang pernah saya tulis dahulu: “Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah denganmu. JAdi, janji Allah tentang lelaki yang baik untuk wanita yang baik bukan hanya berlaku pada awal pernikahan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan menuju syurga!”



Selasa, 3 April 2012

MANUSIA TANPA IMAN





Tanpa Iman, manusia tidak akan ada pendirian. 
Tanpa pendirian manusia akan menjadi hamba pada keadaan. 

Iman itu merubah keadaan, bukan sebaliknya. 
Sesungguhnya, apa yang berlaku di dalam diri kita lebih penting daripada apa yang berlaku di luar diri kita! 

Oleh itu, sekiranya hati kita mudah berubah-ubah mengikut kedaaan yang sedang kita hadapi... bererti iman masih goyah, yang di luar masih kuat mempengaruhi yang di dalam. 

~ Ustaz Pahrol Mohd Juoi.


Isnin, 2 April 2012

KENAPA ALLAHSWT SEDIAKAN NERAKA ?


Sebab ada manusia yang tidak teringin hendak masuk ke Syurga. Segala LARANGAN Allah di rempuh. SURUHAN Allah? Yang di larang sanggup di rempuh, apatah lagi SURUHAN Allah. Contoh yang paling mudah, mari kita sentuh bab aurat. Cuba lihat cara kita berpakaian wahai muslimah. 

" Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat . Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya " Riwayat Bukhari dan Muslim

a ) Berpakaian tipis / jarang
b ) Berpakaian ketat / membentuk
c ) Berpakaian berbelah / membuka bahagian-bahagian tertentu

" Nak tutup aurat? Tunggu aku dapat hidayah" HIDAYAH ITU PERLU DICARI, BUKAN MENUNGGU JATUH KE RIBA.





































Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...