Pada penghujung tahun ini adalah masanya bagi umat Islam untuk melakukan muhasabah diri tentang pencapaian-pencapaian yang telah dimiliki dan kekurangan-kekurangan yang perlu diperbaiki. 

Amalan muhasabah sebenarnya elok dilakukan setiap hari, bahkan Imam al-Ghazali mengajarkan dalam Ihya’ Ulumuddin tentang keperluan melakukan muhasabah pada setiap amal yang dilakukan. 

Beliau menggariskan konsep ’tiga kali muhasabah dalam satu amal’ iaitu sebelum melakukan pekerjaan, ketika melakukannya dan selepas mengerjakannya. Dalam Al-Quran juga telah ditegaskan tentang suruhan bermuhasabah sebelum kita menghadapi hari penghisaban Allah nanti.

Firman Allah SWT: ”Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah dikerjakannya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr: Ayat 18)

Sudah sepatutnya orang Islam merancang kehidupannya dengan lebih teratur dan terarah. Tentu saja kehidupan ini bermula di dunia hingga ke akhirat. Rancanglah masa depan akhirat, tetapi jangan sampai terlupa di mana nanti kita akan tinggal. 

Pada syurga tingkat ke berapa?
Bagaimana dengan masa depan anak dan isteri di akhirat nanti?

Bolehkan mereka sebumbung dengan kita menikmati istana syurga?

Ada pula orang yang langsung tidak merancang hidup di dunia, manalah terdaya akhirat dimiliki. Kemiskinan dan kebodohan menimpa anak-anak yang kurang pendidikan, manakala isteri pula tidak didedahkan dengan tanggungjawab membina masa depan bersama. Manakala si suami asyik dengan sikap malas dan tidak ambil peduli.

Apabila kehidupan menjadi beban bagi seorang individu, maka tiada kebahagiaan akan dikecapi. Akan tetapi jika kita memandang hidup ini sebagai nikmat, maka realiti yang akan kita hadapi adalah kemanisannya. Kerana dalam kesusahan itu ada nikmatnya. 

Pandanglah hidup dengan pandangan manis dan nikmat. Nescaya keceriaan dan kegembiraan sentiasa bersama anda. 

Benarlah sabda baginda SAW: ”Sungguh mengkagumkan keadaan seorang mukmin, keadaan mereka sentiasa baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali bagi orang mukmin. Jika ia mendapatkan kesenangan ia bersyukur. Hal itu merupakan kebaikan. Jika ia tertimpa kesusahan, ia bersabar. Itu juga merupakan suatu kebaikan.” (Hadis riwayat Muslim)

Selamat menyambut lembaran baru, semoga kita semua mendapat petunjuk daripada Allah SWT untuk menghadapi hari esok dengan kekuatan baru menggapai kecemerlangan dunia dan akhirat.




Post a Comment

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama