Disebabkan anak-anak, Allah Taala terus menerus mencurahkan pahala dan melipat gandakan ganjaran. Kerana mereka juga banyak dosa yang diampunkan Allah Taala. Atas nama cinta yang tulus kepada mereka ibu bapa menjadi begitu kuat melawan keperitan hidup, kerana wajah mereka ibu bapa menjadi matang dan belajar bertanggungjawab menjadi manusia dewasa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Satu dinar yang kamu belanjakan kerana memerdekakan seorang hamba dan satu dinar yang kamu sedekahkan kepada seorang miskin dan satu dinar yang kamu nafkahkan kepada keluarga kamu, yang paling besar pahalanya ialah yang kamu nafkahkan kepada keluarga kamu.(Hadis riwayat Muslim)

Barangsiapa yang sabar menjaga anak-anak mereka dalam kemiskinan sesungguhnya Rasulullah SAW berjanji akan mendekatkan kedudukan mereka di syurga bersama baginda, sesuai dengan sabdanya yang bermaksud: “Seorang perempuan yang telah menjadi janda kerana kematian suaminya tetapi dia bersabar menanggung anaknya, maka aku akan bersama dia di dalam syurga dalam keadaan seperti ini.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Selagi Allah Taala memberi masa yang panjang untuk bermesra dengan anak-anak selagi itulah iman harus ditanam. Kekadang yang diingat hanya mahu menyeronokkan hati mereka saja. Maka melimpahlah kasih sayang itu dalam bentuk hadiah yang mahal, percutian yang melalaikan dan kenikmatan berlebihan mengejar kepuasan hati. Bukan bermakna tidak boleh menyediakan fasiliti kelas terbaik kepada mereka, apa salahnya jika mampu selagimana tidak menjejaskan perhatian kepada anak yatim dan fakir miskin di sekeliling kita.

Seelok-eloknya anak-anak diajar prihatin, disuruh melihat anak-anak yang kurang bernasib baik, keluarga-keluarga miskin dan para pesakit kanak-kanak yang terlantar di hospital. Supaya mereka memiliki jiwa pengasih kepada sesama dan tahu menilai erti hidup agar jangan disia-sia. 

Kita mahu mendengar anak-anak kita berkata: “Terimakasih ayah atas segala pemberian yang tak sanggup kami membalasnya.” 

Dan kita tidak mahu mendengar makian dan rungutan daripada mulut-mulut yang tidak pernah diajar cara beradab: “Aku mahu yang terbaik, ayah mesti sediakan dan usahakan juga!” 

Mereka meminta apa yang tidak mampu kita miliki kerana telah terbiasa hidup senang. Padahal masih ramai insan lain menderita. Marilah bukakan mata hati anak-anak kita untuk melihat kehidupan ini dengan pandangan iman bukan mata syahwat sahaja.

Nota : Ramai ibubapa yang hanya mengingat keburukan anak-anaknya tetapi lupa dosa-dosa mereka kepada anak. Bukankah mereka berdosa kepada anak-anak jika memberi nafkah dari sumber yang haram, walaupun kemewahan boleh diberi tetapi ia hanya untuk kehidupan yang singkat, di akhirat nanti kedua ibu bapa seolah-olah memberi makan bara api kepada anaknya.


Post a Comment

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama