IBUNDA'S DELIGHT

Isnin, 14 Mei 2012

Demi cinta sanggup berdosa? Demi cinta sanggup menempah neraka?



Setiap hari, ada sahaja isu yang berpunca dari masalah cinta di paparkan di dada akhbar. 

Kerana cinta, ada sesetengah manusia sanggup 'menyiksa diri' dengan cara tidak makan dan tidak minum hatta ada yang sanggup lari dari rumah kerana insan yang di cintai tidak mendapat restu dari keluarga. 

Kerana cinta, ada sesetengah manusia yang masih bergelar suami atau isteri sanggup meninggalkan anak, isteri ataupun suami demi memenuhi kehendak 'gila' dalam diri.

Kerana cinta, ada sesetengah manusia sanggup menyerahkan tubuh badan sebagai 'bukti cinta' kepada pasangan yang belum 'halal' untuknya.


Sedikit catatan Ustaz Pahrol Mohd Juoi, dikongsikan bersama..

Demi cinta sanggup berdosa? Demi cinta sanggup menempah neraka?

Cinta itu bukan tujuan… Cinta itu hanya jalan. Cinta itu bukan matlamat, cinta itu cuma alat. Rasa ingin mencintai dan dicintai dalam diri setiap manusia pada hakikatnya adalah untuk membolehkan manusia melaksanakan tujuan ia diciptakan. Cinta itu mengikat hati antara lelaki dengan wanita untuk sama-sama membentuk ikatan perkahwinan demi menyempurnakan agama. 

Justeru kerana itulah Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Barang siapa yang berkahwin maka sempurnalah separuh agamanya, tinggal separuh lagi untuk dilaksanakan.”

Cinta memang penting, tetapi ibadah dan menegakkan hukum Allah jauh lebih penting. Sayangnya, hakikat ini sangat jarang difahami dan dihayati oleh orang yang bercinta. Tujuan cinta sering dipinggirkan. Ibadah dan hukum Allah yang tinggi dan suci telah dipinggirkan hanya kerana cinta. Kononnya, cinta itu sangat suci dan tinggi.

Mungkin rasa seperti itulah yang berbunga di dalam jiwa si suami yang diimbau nostalgia cinta lama oleh bekas kekasihnya yang saya sebut pada awal tulisan ini. Kerana cinta, terdetik dalam hatinya untuk bersama bekas kekasih walaupun terpaksa mengorbankan anak dan isterinya. Mungkin rasa cinta itulah juga yang menyebabkan ramai wanita mengorbankan kehormatan diri kepada kekasih hati demi membuktikan ketulusan cintanya. Mungkin kerana itulah juga seorang anak sanggup berpisah dengan ibu-bapanya demi memburu cinta.

Bertuhankan cinta samalah bertuhankan hawa nafsu. Bila tujuan suci dan hakiki dipinggirkan, timbullah tujuan keji dan ilusi sebagai ganti. Sering terjadi nafsu seks dijadikan tujuan di sebalik rasa cinta. Cinta yang berbaur dengan kehendak seks inilah yang pernah dikecam oleh Al Farabi dengan katanya:

“Cinta yang berlandaskan nafsu seks adalah cinta yang diilhamkan oleh Tuhan kepada haiwan!”

Ironinya, ada yang berkata, “lelaki memberi cinta untuk mendapatkan seks. Wanita memberi seks untuk mendapatkan cinta.” Eksploitasi dan manipulasi cinta ini tidak akan memberi kebahagiaan kepada sesiapa – baik kepada lelaki mahupun kepada wanita. Lelaki yang mendapat seks dengan memperalatkan cinta, tidak akan pernah puas. Kehendak nafsu tidak terbatas dan tidak akan pernah puas. Melayani nafsu, umpama minum air laut… semakin diminum, semakin haus.

Manakala wanita yang memberi seks, kononnya untuk mendapat cinta, tidak akan mendapat cinta yang sejati. Mereka hanya akan menemui kasanova dan lelaki hidung belang yang hanya cinta sebelum dapat apa yang diidamkan, tetapi tunggulah sebaik sahaja habis manis sepahnya dibuang. Wanita-wanita malang ini bukan hanya kehilangan cinta, tetapi hilang maruah, kehormatan dan harga diri.

Letakkanlah cinta sebagai alat untuk beribadah kepada Allah. Ujudkanlah rumah tangga bahagia yang menjadi wadah tertegaknya kalimah Allah.


1 ulasan:

Rozuan Ismail berkata...

setuju sgt pasal ada kes sanggup kuar islam semata2 cinta.rasa rugi sgt

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...