IBUNDA'S DELIGHT

Jumaat, 27 April 2012

Tip bercinta sampai syurga.


Peraturan cinta itu apa?

Ia adalah syariat – hukum halal (wajib), haram, sunat, makruh dan harus. Jangan dilanggar yang haram kerana cinta. Jangan diabaikan yang wajib kerana cinta. Manakala yang makruh dan sunat dipulangkan kepada kebijaksanaan dan kewarakan untuk membuat atau meninggalkannya. Percayalah, kemanisan dengan menempuh jalan yang haram, akan berakhir dengan kepahitan. Percayalah, kepahitan yang dirasai kerana menjaga yang wajib pasti membuahkan kemanisan yang berkekalan. :)

Sedarlah sentiasa bahawa cinta itu adalah “hadiah” daripada Allah. Justeru, jangan sekali-kali kita terleka dengan hadiah sehingga melupakan Pemberi hadiah (Allah). Cinta sesama makhluk jangan sampai mengatasi cinta kepada Allah. Cinta bukan Tuhan. Ia hanya hadiah daripada Tuhan. Malangnya, dalam cerita-cerita cinta versi Barat dan Timur, kerap kali dipaparkan seolah-olah cinta itu “Tuhan”.

Lihat, bagaimana Bollywood “mengajar” generasi muda tentang penyimpangan cinta. Secara halus cinta seolah-olah “dinobatkan” sebagai Tuhan. Demi cinta yang suci (kononnya), agama, ibu-bapa, sanak-saudara rela ditinggalkan. Seolah-olah cinta itulah yang paling agung dan utama daripada segala. Hidup merana, menderita malah sanggup mati kerana cintakan kekasih dianggap sikap yang mulia dan suci. Padahal, cinta sesama manusia itu hanya “alat” bukan matlamat. Cinta sesama manusia hanyalah alat untuk mendapat cinta Allah (matlamat). Jadi, untuk menjaga kesucian cinta… jadikanlah cinta Allah sebagai dasar untuk mencintai manusia.

Ingat selalu, untuk bercinta sampai ke syurga di akhirat jadilah rumah tangga kita “syurga” di dunia – Baiti Jannati. Muhasabah selalu bersama isteri atau suami apakah rumah tangga sekarang sudah layak digelar “syurga”? Jika belum, berusahalah. Bermujahadahlah. Berkorbanlah. Pandang muka isteri (atau suami), pandang seorang demi seorang anak-anak kita… Ucapkan pada diri, “tidak akan aku biarkan seorang pun daripada kamu terpisah di akhirat nanti. Kita semua akan berkumpul sekali lagi… abadi di syurga nanti. Insya-Allah. Amin.”

Cinta sampai syurga… jangan melupakan cinta Allah. Jangan dilanggar syariat-Nya. Jika sudah tercemar, gilap kembali agar bersinar. Insya-Allah, akan ada “Arafah” cinta kita. Akan ada syurga kita!

Tip bercinta sampai syurga.
  • Dahulukan hak Allah daripada hak pasangan kita.
  • Sentiasa bekerjasama untuk membuat kebaikan dalam rumah tangga dan masyarakat.
  • Sama-sama saling ingat mengingatkan agar menjauhi kemungkaran.
  • Rela berkorban kesenangan sesama pasangan demi bakti sesama manusia.
  • Berdoa dan bersedekah sebagai wasilah mengekalkan cinta.



Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...