WANITA YANG BAIK TIDAK SEMESTINYA MENUTUP AURAT.. - Eiza GreenAppleKu

WANITA YANG BAIK TIDAK SEMESTINYA MENUTUP AURAT..



“Saya nak tegaskan bahawa wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat.”

“Justeru, wanita yang jahat itu ialah wanita yang menutup aurat?” jolok saya melayan pola logiknya berfikir.

“Er, er, bukan begitu. Maksud saya, baik atau buruknya perangai seseorang wanita tidak bergantung pada pakaiannya, samada dia menutup aurat atau tidak.”

“Apa ukuran awak tentang nilai kebaikan seorang wanita?” kilas saya tiba-tiba.

“Jujur, terus-terang, pemurah, lemah-lembut…”

“Itu sahaja?”

“Ya. Pada ustaz pula apa ukurannya?”

“Kita hanya manusia. Akal kita terbatas. Ukuran dan penilaian kita juga pasti terbatas. Jika diserahkan kepada manusia mentafsir apa itu kebaikan, akan celaru dibuatnya.”

Saya ulangi, wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat, betulkan?”

“Separuh betul,” jawab saya.

”Kalau dia wanita yang jujur, terus-terang, pemurah dan lemah lembut… ya dia ‘baik’ di sudut itu. Tetapi jika dia mendedahkan auratnya, dia telah melanggar perintah Allah di sudut yang lain. Dia ‘tidak baik’ di sudut berpakaian, kerana hukum menutup aurat telah termaktub dalam Al Quran.”

“Orang yang baik menurut Islam ialah orang yang baik hubungannya dengan Allah dan manusia. Menutup aurat perintah Allah.”

Anak muda di hadapan saya masih tidak puas hati. Perlahan-lahan saya tusuk dengan hujah yang memujuk, “namun percayalah jika benar-benar hatinya baik, insyaAllah lambat laun dia akan menutup aurat juga.”

“Jika seorang wanita itu benar-benar baik hatinya insya-Allah lambat laun dia akan menutup aurat walaupun sebelumnya tidak menutup aurat.”

“Oh, begitu. Kenapa ya?”

“Allah menilai pada hati. Jika hati itu baik, lambat laun hal-hal luaran pasti mengikutnya jadi baik.”

“Apa pula pendapat ustaz tentang wanita yang menutup aurat tetapi akhlak dan perangainya buruk?”

“Bab aurat dia telah selamat. Alhamdulillah, kewajiban menutup aurat telah dipatuhinya. Apa yang tinggal… dia perlu membaiki akhlak dan perangainya. Dia perlu terus berusaha.”

“Jika ada berpura-pura? Menutup aurat hanya untuk menunjuk-nunjuk atau sekadar tuntutan fesyen dan trend?”

“Hati manusia kita tidak tahu. Kita tidak tahu hati wanita yang menutup aurat tu jahat atau tidak, samalah seperti kita tidak tahu samada hati wanita yang tidak menutup aurat itu baik atau tidak. Soal hati hak Allah…”

“Tetapi katalah hati wanita yang menutup aurat itu benar-benar jahat…”

“Jika hatinya benar-benar jahat… lambat laun dia akan mendedahkan auratnya semula.”

“Mengapa?”

“Menutup aurat adalah pakaian wanita yang solehah. Wanita yang jahat tidak akan mampu memakai pakaian wanita solehah.”

“Patutlah saya lihat ada wanita yang dulunya memakai tudung labuh, tapi kemudiannya tudungnya semakin singkat, lama kelamaan mula memakai seluar ketat, kemudian berubah kepada memakai baju T sendat… lama-kelamaan bertudung ala kadar sahaja.”

“Perubahan luaran gambaran perubahan hati. Yang tidak menutup aurat… akhirnya perlahan-lahan meningkat untuk menutup aurat kerana hatinya beransur jadi baik. Sebaliknya, yang menutup aurat… secara beransur-ansur akan mendedahkan auratnya jika kualiti hatinya semakin merosot.”

“Wanita yang baik mesti menutup aurat?”

“Ya.”

“”Wanita yang jahat mesti mendedah aurat?”

“Tidak semestinya, kerana ada wanita yang berhati baik tetapi belum menutup aurat kerana mungkin dia sedang berusaha untuk mengatasi halangan-halangan luaran dan dalamannya untuk menutup aurat.”

“Apa yang boleh kita katakan kepada wanita begitu?”

“Dia sedang berusaha menjadi wanita yang baik.”

“Bagaimana pula dengan wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangainya? Wajarkah mereka mendedahkan aurat supaya tidak hipokrit.”

“Perangai yang buruk bukan alasan mendedahkan aurat. Bagi mereka ini, tuntutan menutup aurat sudah ditegakkan, alhamdulilah. Tinggal satu lagi, tuntutan memperbaiki akhlak… itu sahaja yang perlu dilaksanakan. Satu selesai, tinggal lagi satu. Namun bayangkan jika disamping perangai buruk, mereka juga turut mendedahkan aurat … Itu lebih buruk lagi. Dua perkara tak selesai, bab aurat dan bab perangai!”

“Jadi apa kita nak kata tentang wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangai ni?” Sekali lagi dia mengajukan soalan yang sama.

“Wallahua’lam. Boleh jadi mereka juga sedang berusaha mengatasi halangan dalaman dan luarannya untuk memperbaiki perangainya. Dan nauzubillah, boleh jadi juga iman mereka sedang merosot sehingga menjejaskan akhlak mereka… yang lama kelamaan jika tidak diatasi akan menyebabkan mereka kembali mendedahkan aurat!”


GreenAppleKu : Hanya dua perkara yang perlu di selesaikan. Bab aurat dan akhlak. Tidak banyak namun yang dua perkara inilah amat sukar di laksanakan oleh mereka yang masih tercari-cari identiti sebagai wanita Islam. 

Perkara yang telah di wajibkan, tidak perlu kita menunggu untuk mendapat hidayah, tunggu terbuka pintu hati, tunggu selepas kahwin atau tunggu waktu tua nanti. Sebab ianya telah di wajibkan. 

Nota : Sumber artikel dari Ustaz Pahrol Mohd Juoi. 



8 ulasan

delarocha berkata...

susah jugak jadi perempuan ya

NALQAH berkata...

sangat setuju tentang ini.. sebab semua ini berdasarkan pengalaman saya sendiri. dari bertudung kepada tidak bertudung dan kemudiannya Alhamdulillah bertudung kembali. InsyaAllah di masa depan akan bertudung mengikut syariat yang sepatutnya. Amin.

Faiqah Umaira berkata...

saya dah baca artikel ini kat dalam buku Beduk Diketuk tulisan Pahrol Mohd Juoi, beliau mmg seorang penulis dan pemikir yang bagus!

Solihin Zubir berkata...

kalau nk dikira baik atau jahat, org kafir pun ramai yg baik hati..

jd, apa beza kita dgn org kafir kalau bukan dari segi penampilan dan pemakaian selain akhlak yg baik..

Gen2Merah berkata...

waaahhhh, saya kagum dengan entri ini... penuh dengan penjelasan yang bermaksud... hebat

kita doakan sajalah agar mereka diberi hidayah... hati manusia boleh berubah2 sekelip mata.. Itulah pelunya dakwah agama ini disampaikan secara berterusan kpd mereka yang hanyut dengan dunia..

lieza roslan berkata...

td aku ada share link ni kat fb aku tau..pastu aku dpt respon dari frens aku..lelaki la frens aku tu...si A ni sokong ape yg aku share ...pastu aku jwb la kat si A.. ni mmg bertudung adalah satu kewajipan tp keikhlasan hati lagi penting...so si A ni masih lg menyokong aku...siap like lagi... then tbe2 ada respon dari si B lelaki jgk... die ckp kt suh remove link ni...die ckp aku ni menyesatkan org ngan link ni... so si A back up la aku..die ckp aku ni x bermaksud cam tu..pastu si B ni keras2 slhkn kn aku jgk... cam2 die ckp..aku ni mempengaruhi org supaya x bertudung la,memperlekehkan agama..ape la itu la ini... dalam masa sm aku asew si A da mls nk lyn...die pun say sorry to Si B... trus senyap... aku plak mls nk gduh2 aku remove kn link ni dari wall FB aku...at the same time aku asew kecewa ngan si B.. aku rs dlm hati aku die juz baca tajuk tuh bkn entry yg cbe ko smpai... ntah la.. pemikiran si A sm cam aku... tp pemikiran si B agak typical ckit... dari c2 ak asew kecewa ngan sikap si B...bercakap tanpa berfikir..menuduh tanpa bkti.. tp entry mmg aku suke...

GreenAppleKu.com berkata...

@ lieza roslan, Liena..konfem si B sekadar baca TAJUK dan terus komen. Moga si B terbuka hati untuk membaca dan terbuka minda untuk berfikir. Jangan takut untuk meneruskan dakwah sesama kita. Tak perlu awak removekan link tersebut. Biarlah.

Percaya itu di akal, dimiliki oleh pemikiran dengan belajar. Manakala yakin itu di hati, dimiliki dengan tarbiah dan mujahadah.

Zul Fattah berkata...

baik buruk kita tak leh nak judge org cam tu je.. hanya Allah yg mampu tentukan.. tp yg penting.. hati kita.. hati tu yg utama..

GreenAppleKu.com. Dikuasakan oleh Blogger.