REDHA VS TERPAKSA


GreenAppleKu : Entri ini saya terbaca di i luv islam. Satu entri yang perlu di baca untuk kita lebih memahami apa itu redha dan apa itu terpaksa. Borak kosong saya bersama rakan sekerja ada kalanya penuh dengan pelbagai masalah kehidupan yang sedang mereka hadapi. " Bersabarlah" itu sahaja yang mampu saya ucapkan. Namun sejauh mana mereka faham, apa itu sabar? 


Setiap perjalanan hidup ini ada dugaan yang datang menghampiri. Tidak kira sama ada kita rela atau tidak ia pasti menjengah hidup dan kehidupan. Semua hambaNya pasti merasa dengan cubaan dan dugaan yang dihulurkan agar kita sebagai hambaNya yang hina tidak pernah lupa dan alpa bahawa Dia adalah pentadbir alam yang sebenar-benarnya.

Itu apa yang dikata, namun sunnnatullah kita lah hamba yang paling hampir dengan sifat lupa dan alpa walau terkadang hidup dan diri di uji tetapi masih terus hanyut entah ke mana. Kerana kita tidak redha dengan ujian yang di beri, tidak terima dengan cubaan yang menguji, tidak ingin mengambil pengajaran dari dugaan yang Allah S.W.T hantar dalam hidup ini.

Apalah erti nya hidup andai hati kita tidak pernah redha dengan segala pemberiannya apatah lagi dugaan. Orang yang tidak faham, mesti berkata ujian dan dugaan itu adalah bala dan musibah. Ya! nampak betul pada pandangan mata kasar, tetapi pada zahirnya ia adalah nikmat dan punya hikmah yang kita sendiri tidak ketahui.

Ujian dan dugaan adalah nikmat - kenapa saya kata nikmat? Nikmat kerana ia adalah sesuatu peringatan buat kita yang sering lupa dan alpa dengan dunia. Sebagai contoh, tanda lampu merah, ibarat berhenti di traffic light, kerana asyik sangat memandu satu masa kita akan jumpa lampu merah sebagai peringatan agar kita berhenti daripada meneruskan perjalanan dan berfikir ke mana harus kita tujui seterusnya, betul ke?

Terpulang pada pandangan masing-masing untuk menilai sejauh mana nikmat dugaan itu perlu kita syukuri dan hati redha dengan ujian Ilahi. Dugaan itu untuk menguji sejauh mana iman dan setebal apakah iman kita? Bila ujian datang kita akan tersedar betapa sebenarnya kita tidak sekuat apa pun, betapa diri kita tidak sehebat mana pun, betapa kita ini bukan lah the champion in the world.

Jangan sombong dengan Dia. Jangan kita lupa bahawa Dia lah champion yang sebenarnya. Kaya itu nikmat tetapi kaya itu juga dugaan. Sihat itu nikmat tetapi sihat itu juga dugaan. Rezeki itu nikmat tetapi rezeki itu juga dugaan. Ilmu itu nikmat tetapi ilmu itu juga dugaan buat kita.

Kalau nak di hitung nikmat yang diberi Allah S.W.T yang Maha Pemurah memang tidak akan terhitung. Maka sedar lah kita jangan hati kita tidak redha dengan ujian dan dugaan yang mendatang. Redha kerana itulah tanda kebahagiaan yang hampir dengan kita. Ya, cakap memang senang tetapi hidup ini perlukan mujahadah untuk kita redha dengan istiqomah agar hati kita tenang dan yang paling penting sentiasa ingat Dia walau apa pun sekali keadaannya. Baik masa susah atau masa senang, waktu kita tersungkur menerima ujian dariNya atau apa sahaja. InsyaAllah hati yang redha pasti tenang.

Jangan kita jadikan hati kita, hati yang sakit saat terima ujian dan dugaan dan merasakan tiada peluang dan ruang untuk kita terus berjuang. Kita diberi ujian sebagai ingatan agar kita tak terus alpa, agar kita ingat itu adalah balasan dunia untuk ringankan azab di akhirat sana. Sedarlah kita sebagai hambaNya hanya meminjam apa yang ada, dan Dia berhak memberi apa sahaja yang dia mahukan agar kita tahu Dia masih menyayangi kita masih memandang kita sebelum Dia palingkan wajahNya dari kita.

" Apa sahaja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorang pun yang dapat menahannya, dan apa saja yang ditahan oleh Allah maka tidak seorang pun yang sanggup untuk melepaskan nya sesudah itu. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Fathir: 2)

Hati yang sakit dan tidak redha tidak akan mudah dan tidak akan berlapang dada dalam menerima dugaan dan ujianNya, kerana apa? Kerana hatinya telah jauh dari AsmaNya. Ubati lah hati itu agar kita tidak semakin jauh dan menjauh, terima lah ujian Nya agar kita tidak mengikuti jalan yang salah. Sesungguhnya " Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al-Baqarah: 286)

Terima seadanya apa yang ada kerana setiap apa pun yang terjadi pasti ada hikmah yang tersembunyi. Dalam perjalanan hidup ini kita mesti terus berjalan namun sesekali kita harus berhenti untuk muhasabah diri sebelum terus meneruskan perjalanan hidup ini. Semoga menjadi ingatan bersama kerana saya juga hambaNya yang masih mencari sesuatu di antara waktu.

Ulasan

delarocha berkata…
terima kasih atas perkongsian
pena rozie berkata…
Memang betul.. Semua dugaan ade hikmatnyer...
GreenAppleKu.com berkata…
@ delarocha , sama2 en.delarocha. Moga kita akan lebih redha. : )
GreenAppleKu.com berkata…
@ pena rozie, betul tu. ada hikmahnya. sabarlah yer.
KaK LimAh Si SupiR berkata…
betol..nikmat utk menguji kite sejauh mane kite bersyukur..dan dugaan juga utk menguji keimanan kite terhadap ALLAH SWT ^_^
Manjeamusyuk berkata…
Thnx 4 sharing.. Nikmat adalah ujian drpd Allah...malapetaka juga adalah ujian drp Allah...kedua2 harus kita syukuri, insyaAllah