Perang mulut kadang melanda bahtera rumahtangga, membuat hati suami panas dan isteri pula makin ganas. Sememangnya keterampilan berbahasa dan kelembutan pertuturan memainkan peranan utama dalam menegakkan komunikasi positif antara mereka. Tapi sayang ramai pasangan yang hebat dalam bab-bab lain tetapi gagal mengamalkan yang satu ini. 

Apakah perkara-perkara yang perlu dihindari oleh suami dan isteri ketika berkomunikasi? Dan bagaimanakah cabaran-cabaran itu boleh diharungi untuk mendapatkan komunikasi positif?

1. Jangan menjawab

Adakalanya kita hanya perlukan ‘senyap dan diam’ untuk mendinginkan keadaan. Iaitu apabila emosi pasangan sudah tidak terkawal lagi dan jika dia tidak boleh berfikir dengan rasional seketika. Daya kawalan diri amat diperlukan untuk menenangkan perasaan anda jika berhadapan dengan pasangan sebegini. Banyakkan mengingati Allah, alihkan tumpuan anda kepada benda lain. Anda boleh hadapi pasangan dengan wajah bersalah tetapi sebenarnya hati anda berada di tempat lain. Selepas emosi pasangan reda, dan anda telah memastikan dia boleh berfikiran waras maka saat itulah masanya untuk menjelaskan duduk perkara sebenar atas salah faham yang terjadi.

2. Jangan membisu

Ini pula sikap tidak bertanggungjawab yang sering dtunjukkan suami isteri yang bermasalah. Sudah tidak peduli lagi dengan pasangan, engkau-engkau, aku-aku, sikap sebegini muncul apabila mereka sudah berputus asa terhadap pasangannya. Telah berkali-kali diberi nasihat tapi suami tak endahkan atau isteri tetap berdegil, akhirnya mereka mengambil sikap biarkan saja. Aib isteri akhirnya dijadikan alasan untuk suami bercinta lagi dan boleh jadi akibat membisu ini akan membawa padah yang lebih berbahaya lagi dalam rumahtangga mereka. Tiada kesepakatan, tiada diplomasi, tiada perbincangan dari hati ke hati, maka alamat runtuhlah kepercayaan satu sama lain.

3. Jangan berleter

Orang yang tak suka berzikir mengingati Allah biasanya suka cakap yang bukan-bukan. Jika ada tanda-tanda bibir kita tak berhenti menyumpah seranah, mencari-cari kesilapan pasangan, menyalahkan keadaan dan takdir hari ini, maka sedarlah bahawa anda telah dijangkiti penyakit teruk. Lidah memang berkait rapat dengan hati, jika hati sakit, lidah pun meracau tak tentu hala. Mencari mangsa siapa saja yang berada di sekeliling; anak-anak, suami, mertua atau ipar duai, semua serba tak betul padahal hati dan perasaan anda yang tidak stabil ketika itu.

4. Jangan bersaing.

Suami isteri suka berlawan sesama sendiri, siapa menang dan siapa kalah, siapa tunduk dan siapa penakluk. Padahal Allah mencipta mereka untuk saling melengkapi, kelemahan yang satu ditutup oleh kelebihan yang lain dan begitulah sebaliknya. Sikap ini didasari oleh latar belakang suami isteri yang sama taraf atau mungkin sebaya, harta benda dan nasab keturunan juga menjadi faktor yang menjurus ke arah amalan suka bersaing. Kalau setakat isteri mahukan kedilan, tidaklah salah di sisi agama, tetapi jika caranya sampai berani memijak kepala suami, menidakkan rasa hormat dan takzim agaknya semangat liberalisme sesat telah merasuki pemikiran isteri.

5. Jangan mengugut

Suami jangan sesekali pergunakan nama agama untuk mengugut isteri. Sikit-sikit mengancam: “Engkau nusyuz! Derhaka! Aku tak reda!” lalu mula pulaukan isteri dengan tak semena-mena. Sebelum berani mengancam isteri seperti itu, cubalah bertanya pada diri anda sendiri; sudahkah sistem pergaulan yang disuruh oleh Al-Quran anda amalkan? Jangan mengata isteri derhaka kalau anda pun derhaka dengan firman Allah ini, maksudnya

“Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri kamu) secara makruf, kemudian apabila kamu tidak menyukai (sikap) mereka maka bersabarlah kerana boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah Al-Nisa’ ayat: 19)

6. Jangan suka menuduh

Jika tiada bukti yang terang maka kita tidak boleh menuduh seseorang dengan sesuatu yang belum jelas kesahihannya. Suami isteri sering dihinggapi penyakit curiga, apatah lagi jika mereka saling berjauhan. Atau mungkin sebelum berkahwin pernah terlibat skandal yang mengaibkan. Kisah silam pasangan akan sentiasa menghantui seseorang, kalau dulu suami kaki perempuan mungkin sampai saat ini isteri sentiasa berwaspada. Ataupun kalau isteri ada ramai bekas kekasih, suami mana yang tak cemburu jika isteri ditinggal agak lama. Emosi yang tak stabil memainkan peranan dalam mengapi-apikan perasaan curiga ini. Ditambah lagi dengan tiadanya bimbingan agama dalam melayari percintaan, agaknya sulit untuk mereka keluar dari kepompong curiga dan cemburu sebegini.

Setelah memahami 6 gaya komunikasi positif ini ada satu lagi petua terakhir yang tak kalah berharga untuk kita kongsi bersama, iaitu nasihat Rasulullah melalui sabda baginda yang bermaksud:

Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir beliau bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, bagaimanakah jalan mendapat keselamatan? Baginda bersabda: Tahanlah lidahmu, tetaplah di dalam rumahmu dan tangisilah dosamu.” (Hadis hasan riwayat Al-Tirmizi)

Oleh itu, sebelum menuduh, mengata, mencela dan menghina pasangan cubalah tangisi dosa-dosamu dahulu, wahai suami, aduhai isteri!

GreenAppleKu : Satu lagi perkongsian ilmu dari Dr.Juanda untuk diri sendiri dan juga buat mereka yang ingin menambah ilmu pengetahuan tentang hidup rumahtangga.

4 Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

  1. hurmmm..kerana kata2 jugalahh hati mudah tersentuh :(

    BalasPadam
  2. InsyaAllah.. sama2lah kita mengambil pngajaran dari entry ni..
    bila lah aku dapat kahwin ni?

    BalasPadam
  3. klu si isteri jadi api, si suami kena jadi air... jgn jadi minyak.. nnt makin teruk bahananya.

    BalasPadam

Catat Ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!

Terbaru Lebih lama