PENGALAMAN BERSAHUR, BERPUASA, BERBUKA DAN SOLAT TERAWIH KETIKA TINGGAL DI ASRAMA - Eiza GreenAppleKu

PENGALAMAN BERSAHUR, BERPUASA, BERBUKA DAN SOLAT TERAWIH KETIKA TINGGAL DI ASRAMA

Setiap kali menjelangnya bulan ramadhan, pengalaman berpuasa ketika  tinggal di asrama pasti akan terbayang-bayang di ruang minda. Ketika itu umur baru dalam belasan tahun. Dan dalam umur yang seawal itu, saya telah di dedahkan dengan hidup berdisiplin. 

Semuanya perlu cepat, tepat pada masanya jika tidak mahu berlapar dan lewat ke sekolah mahupun terpaksa memakai pakaian sekolah yang tidak sempat di seterika hatta memakai kasut sekolah yang tidak putih warnanya. Penampilan kemas, bersih dan sedap mata memandang, amat di titik beratkan sedari usia remaja lagi. (^^)

Bersahur di asrama merupakan satu penderaan mental pada ketika itu. Bayangkan seawal jam 4pagi terpaksa bangun, turun ke tingkat bawah dan beratur panjang untuk makan nasi. Ketika itu, mula teringat betapa seronoknya bersahur di rumah. Tidak perlu bangun awal pagi, tidak perlu beratur panjang dan emosi tidak terganggu kerana tidak ada senior yang akan potong barisan.

Saat menjalani ibadah puasa, tidak terasa masa yang berlalu kerana sibuk dengan aktiviti yang memang padat ketika itu. Sedar-sedar dah hampir waktu untuk berbuka puasa. Seminggu sekali dapatlah kami menjamu selera dengan menu nasi minyak, nasi tomato dan ayam masak merah. Itu sudah cukup memadai buat kami semua. Sedikit sebanyak terubatlah rasa rindu untuk makan masakan ibu di rumah. 

Solat terawih memang meriah dengan adegan kejar mengejar keliling surau, berebut-rebut mengambil wuduk dan sekali lagi berebut-rebut untuk mendapatkan barisan solat yang berdekatan dengan rakan karib. Selagi boleh, tak nak satu barisan dengan senior sebab sudah tentu solat terawih berjumlah lebih dari 8 rakaat. 

Masa yang berlalu amat pantas di rasakan. Sesekali apabila terkenangkan pengalaman ketika tinggal di asrama, boleh buat saya ketawa seorang diri. Untuk semua yang sudi singgah di blog picisan saya ini, rebutlah peluang untuk melakukan ibadah sebanyak mana yang boleh di bulan yang penuh keberkatan ini.

Nota : Ketika saya menaip artikel ini, telah kedengaran bunyi meriam buluh di hari pertama Ramadhan.


2 ulasan

delarocha berkata...

bulan pose, tokan meggi up harga meggi.. huhu

GreenAppleKu.com berkata...

@ delarocha, betul punya ambil kesempatan tokan meggi tu ya. Bila lagi tokan tu nak buat duit raya.. :)

GreenAppleKu.com. Dikuasakan oleh Blogger.