ANAK TAK SAH TARAF DAN IMPLIKASI HUKUM SYARA'

" Walaupun majlis wa simple wa tetap happy sebab
wa nak anak-anak wa semuanya sah taraf.." En. Meow.

GreenAppleKu : Kasihan nasib anak tidak saf taraf nih, ibu bapa yang buat dosa, mereka pula yang terkena kesannya seumur hidup. Jangan berzina. Rosak masa depan keturunan korang. Malas nak bebel panjang, baca sampai habis artikel nih..


Fenomena hari ini terlalu menyesakkan jiwa. Kes pembuangan bayi, kejadian rogol malah perzinaan semakin berleluasa. Kesannya terlalu parah. Bukan setakat mengeruhkan keadaan masyarakat, bahkan memberikan kesan kepada individu itu sendiri.

Ya. Anak yang terhasil daripada hubungan berkenaan turut menanggung akibat. Sedangkan mereka tidak berdosa. Terhasil daripada dosa orang lain. Namun, kesannya ditanggung hingga ke akhir hayat.

Mufti Selangor, Dato' Setia Mohd Tamyes Abd. Wahid dalam kertas kerja berjudul Anak Tak Sah Taraf Mengikut Hukum Syara' di Seminar Penolong Pendaftar Nikah Daerah Hulu Selangor pada 28 November 2007, mengupas dengan panjang lebar isu yang sedang membarah dalam masyarakat ini.

Definisi anak tak sah taraf

Dalam kertas kerja tersebut mendefinisikan bahawa anak tak sah taraf dalam bahasa Arab disebut walad al-zina yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah. Berdasarkan perbincangan para fuqaha mengenai nasab seseorang anak pula , secara umumnya dirumuskan bahawa anak zina adalah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan daripada perkahwinan yang sah atau persetubuhan syubhah.

Kertas kerja berkenaan turut merujuk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor bahawa istilah anak tak sah taraf adalah satu istilah yang digunakan bagi anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sah dan sama. Peruntukan undang-undang menyatakan bahawa:

'tak sah taraf berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah'.

"Manakala Fatwa Garis Panduan Anak Tak Sah Taraf Menurut Hukum Syara' di Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 28 April 2005, singhah berkaitan anak tak sah taraf menurut hukum syara' adalah seperti berikut:

"1. Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui cara saintifik yang bertentangan dengan hukum syara'.

"2. Anak yang dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu 'imkad ad-dukhul' dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhah.

"3. Anak yang dilahirkan daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu 'imkad ad-dukhul' selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara' bahawa anak tersebut ialad anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat hukum syara'".

Kedudukan & Hak Anak Tak Sah Taraf

Para fuqaha' semua mazhab bersependapat bahawa seseorang anak yang pembenihannya dan kehamilannya itu berlaku sebelum pernikahan kedua-dua ibu bapanya adalah ank hasil daripada perzinaan. Anak tersebut dikira anak tidak sah taraf.

Implikasi Di sisi Hukum Syara'

Berdasarkan kertas kerja menyatakan bahawa hubungan nasab (keturunan) anak tidak sah taraf tidak harus dibin atau dibintikan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. Dia hendaklah dibin atau dibintikan Abdullah atau salah satu nama Asma' al-Husna atau sifat Allah.

Manakala bagi nafkah pula, ia menjadi tanggungjawab kepada ibunya untuk menanggung saraan hidup anak tidak sah berkenaan. Ia adalah kerana anak tidak sah berkenaan dinasabkan kepada ibunya, dan tidak kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya.

Berkenaan harta pusaka, anak tidak sah taraf dan ibunya boleh mewarisi pusaka antara satu sama lain. Ia adalah kerana anak tidak sah taraf berkenaan tidak terputus hubungan keturunan dengan ibunya. Sekiranya ibunya meninggal dunia, maka ia mempunyai hak untuk mewarisi pusaka ibunya bersama-sama ahli waris yang lain. Begitu juga sekiranya anak tak sah taraf itu meninggal dunia terlebih dahulu, maka ibunya berhak dari segi pusaka dengan bapanya yang tidak sah taraf dan ia tidak menjadi ahli waris dan tidak berhak untuk mewarisi pusaka bapanya. Begitu juga sebaliknya bapanya tidak berhak untuk mewarisi pusakanya.

Menyebut mengenai hak dalam konteks perwalian, diri anak tak sah taraf sebenarnya terletak kepada ibunya. Walau bagaimanapun, perwalian perkahwinan seseorang anak tak sah taraf perempuan dipegang oleh wali hakim. Lelaki yang menyetubuhi ibunya sebelum akad nikah yang sah, sama ada dia berkahwin atau tidak dengan ibunya selepas itu, tidak sah menjadi walinya.

Bagi aspek perkahwinan, seseorang anak tak sah taraf perempuan boleh berkahwin dengan seseorang lelaki yang sah. Manakala berhubung dengan penjagaan anak tak sah taraf pula, ia adalah dipertanggungjawabkan semata-mata kepada ibu dan saudara mara sebelah ibunya.

Apabila berlakunya kematian seseorang anak tak sah taraf yang belum mencapai baligh, ia adalah menurut hukum agama ibunya. Bermakna, sekiranya ibunya beragama Islam, maka ia dihukum sebagai seorang yang beragama Islam. Berdasarkan hakikat itu, jenazahnya hendaklah diuruskan secara pengurusan Islam.

Namun, seandainya ibunya bukan beragama Islam, maka ia dihukum sebagai seorang yang bukan beragama Islam, sekalipun lelaki yang menyetubuhi ibunya itu seorang yang beragama Islam. Jika semasa hayatnya, anak tak sah taraf berkenaan melakukan amal kebajikan sama ada untuk dirinya sendiri atau masyarakat, maka segala manfaatnya dari segi ganjaran Allah dan lain-lain akan kembali kepada dirinya jua.

Seandainya seseorang anak yang dipungut dan tidak dapat ditentukan keturunannya sama ada Islam atau bukan Islam, maka adalah menjadi tanggungjawab pihak pentadbir (kerajaan) membesarkannya, menjaga kebajikannya serta mendidiknya menurut agama Islam kerana bersandarkan kepada majoriti rakyat sesebuah negara itu yang beragama Islam.

Statistik Pendaftaran Kelahiran Anak Luar Nikah (Jabatan Pendaftaran Negara dari tahun 1999-2003)

Selangor: 12,836

Perak: 9,788

Kuala Lumpur: 9,439

Johor: 8,920

Sabah: 8,435

Negeri Sembilan: 4,108

Pahang: 3,677

Kedah: 3,496

Pulau Pinang: 3,412

Melaka: 2,707

Kelantan: 1,730

Perlis: 691

Sarawak: 617

Terengganu: 574 orang

Perzinaan dan Kehamilan Luar Nikah Berdasarkan Undang-Undang Malaysia

Perzinaan menurut hukum syara' secara umumnya adalah perhubungan seks antara lelaki dan perempuan yang dilakukan di luar ikatan perkahwinan yang sah atau persetubuhan syubhah sama ada dengan kerelaan atau paksaan. Dalam Kanun Keseksaan, tidak terdapat tafsiran mengenai perbuatan zina.

Oleh itu, perzinaan dianggap bukanlah suatu jenayah kerana terdapat unsurkerelaan. Berbeza dengan perbuatan rogol yang dianggap sebagai satu kesalahan dan jenayah kerana terdapat unsur paksaan dan mangsa dalam perbuatan tersebut.

Note: Artikel ini adalah Berdasarkan Kertas Kerja-Anak Tak Sah Taraf Mengikut Hukum Syara')



4 ulasan:

  1. baru tahu pasal agama seseorang anak tak sah taraf.

    BalasPadam
  2. Saffrina, sebar-sebarkan sebab sharing is caring.

    BalasPadam
  3. AAM makin takut dengan keadaan sekarang ni....

    BalasPadam
  4. Hem, sejujurnya saya juga risau melihat kes yang semakin hari semakin bertambah..buatlah apa jua hukuman, perkara ini tetap akan berlaku.

    Risau memikirkan, bala apakah agaknya yang akan Allah beri sebagai hukuman!

    BalasPadam

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!