Jumaat, 17 Disember 2010

AL-QURAN UBAH JADI 'ORANG'


SAYA masih ingat lagi zaman kami adik-beradik masih kecil. Saya cukup menyampah apabila ibu dan ayah pulang sahaja dari kerja, pasti datang dua tiga orang jiran melaporkan satu persatu perangai kami tiga beradik.

Yang paling geramnya lagi, bila setiap butir laporan mereka yang sememangnya betul itu dipercayai oleh ayah mahupun ibu.

Sayangnya, masyarakat sekarang lebih terpengaruh dengan konsep individualistik yang dibawa Barat. Menegur anak-anak jiran waima atas niat ikhlas, telah dituduh busybody atau suka menjaga tepi kain orang.

"Kita seharusnya bersyukur sebab ada insan lain yang tolong berfikir untuk anak kita. Berbeza dengan zaman dahulu, beranak seorang tetapi yang menjaganya sekampung. Sekarang ini, lain pula senarionya.

"Hasil daripada fikir dan risau akan anak-anak inilah maka dari situ kita bermula dengan satu program berbentuk motivasi tetapi asas penekanannya adalah kepada al-Quran yang dikenali sebagai Kem Motivasi Al-Quran ala Madrasah," kata pendakwah bebas dan pakar motivasi tanah air, Asni Abu Mansor al hafizah.

Tambah Asni yang juga Timbalan Pengarah Urusan TQTC, masalahnya sekarang, ramai daripada kita mungkin tidak perasan atau terlepas fikir, sejauh mana umat Islam, khasnya yang bergelar ibu bapa menggunakan wang mereka, sama ada untuk tujuan melentur atau menghancurkan anak-anak mereka?

Tegas Asni lagi, majoriti kita terlalu berkira untuk melabur kepada saham akhirat. Malah dalam perancangan ekonomi keluarga, tidak pernah kita dengar orang membuat pelaburan untuk rohani anak-anak.

Hakikatnya, dalam urusan berkaitan agama, kita perlu melakukan sesuatu. Begitu juga dalam menerapkan dan memantapkan agama di dalam nurani anak-anak, maka ia perlu kepada pelaburan yang besar.

Apatah lagi, kita iaitu manusia adalah insan yang sangat lemah, jadi kita mengharap hidayah dan belas ehsan daripada Allah SWT. Malah itulah yang selalu beliau tekankan kepada anak-anak peserta. Justeru, untuk mendapatkan hidayah Allah itu, mediumnya adalah membaca al-Quran.

Alhamdulillah, kata Asni, kem motivasi al-Quran ala madrasah ini telah berjalan selama 10 tahun. "Siapa sangka, pada peringkat permulaannya ia sekadar dirancang pada peringkat taman perumahan, kemudian dilanjutkan ke peringkat negeri Selangor dan sekarang ini berjaya sampai ke peringkat kebangsaan dan insya-Allah, kem kami ini akan menyeberangi Laut China Selatan.

"Kebiasaannya, kem-kem motivasi sekadar mengambil masa tiga hari. Kelainannya kem anjuran TQTC, ia lebih berbentuk amal dan praktikal. Ini supaya apabila tamat kem ini nanti, pesertanya berubah tetapi bukan kerana kata-kata daripada pakar motivasi atau fasilitator sebaliknya mereka berubah kerana sumber hidayah yang diperoleh sepanjang 14 hari di dalam kem ini," tambahnya.

Menurut Asni, sumber hidayah di sini adalah al-Quran yang mereka bacakan setiap hari. Dua minggu membaca surah Yasin setiap pagi, di samping solat Dhuha, solat fardu lima waktu dan tidak putus-putus berdoa kerana hidayah itu milik Allah SWT bukan milik saya ataupun tenaga pengajar.

"Jadi, mintalah kepada Allah, kerana mereka sendiri tahu apa dia kelemahan dan berazam ke arah kejayaan diri," katanya.

Menakjubnya jelas Asni lagi, semasa di rumah kanak-kanak ini bukan sahaja sukar hendak khatam, waima membaca al-Quran pun susah. Tetapi di dalam kem ini, ada yang mampu khatam al-Quran, mengenal huruf dan tidak kurang juga sudah mula berjinak-jinak dengan kebolehan menghafaz ayat-ayat suci al-Quran.

"Anak-anak kita ini bukannya tidak membaca al-Quran tetapi sebenarnya tidak rapat dengan al-Quran. Kedua, tidak ada pendedahan kepada suasana hidup dengan al-Quran. Maka dari situ jugalah datangnya kem ala madrasah yang bermaksud, mewujudkan suasana pembelajaran ala madrasah.

"Malah belum pernah berlaku kematian akibat daripada deraan dengan pembacaan al-Quran. Ditambah pula kita mengetahui dan mengagumi bagaimana Saidina Umar mampu berubah dengan al-Quran.

"Kami pernah terima budak-budak yang hampir murtad, yang nakal juga tidak kurang jumlahnya. Malah ada juga yang langsung tidak tahu membaca, sedangkan umur sudah belasan tahun. Alhamdulillah dengan rapatnya al-Quran dalam diri mereka, maka hadirnya hidayah Allah berupa kesedaran, keinsafan dan penyesalan secara sendiri bukan atas dasar paksaan. Subhanallah...," kata Asni pada pertemuan di kem perkhemahan di Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.

SUMBER : UTUSAN

2 ulasan:

N@SIQUE berkata...

memang la~~zaman skrg nie dah jauh bezanyer,,dri dlu,,tapi sumber nk dapatkan benda baik berada di ujung jari,,tpi ramai x berminat kot~~~harp2 kita lebih pro aktif ke arah kebaikan,,

suka entry nie :D

GreenAppleKu berkata...

Berubah untuk kebaikkan semua.

IBUNDA'S DELIGHT

REWARD YOURSELF..