My Instagram

LINDUNGI ANAK DARIPADA PnD


UTUSAN : KEHADIRAN anak sememangnya ditunggu-tunggu oleh pasangan yang berumah tangga. Anak bukan sahaja bertindak sebagai penyeri rumah tangga tetapi permata yang menambah sinaran kebahagiaan rumah tangga.

Begitupun, kegembiraan menyambut 'ahli baru' dalam keluarga boleh bertukar menjadi mimpi ngeri kepada ibu bapa akibat kurang pengetahuan asas mengenai penjagaan dan keperluan kesihatan bayi khususnya di peringkat tahun pertama kelahiran.

Ini termasuk perkara-perkara yang sering dianggap mudah seperti rutin rawatan di klinik bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Pakar Perunding Pediatrik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Zulkifli Ismail berkata, ramai kurang prihatin terhadap masalah penyakit berjangkit di kalangan kanak-kanak.

''Seharusnya perkara ini di pandang serius kerana kira-kira dua juta kanak-kanak berusia bawah lima tahun mati setiap tahun akibat penyakit berjangkit.

"Antara penyakit berjangkit dan kematian utama di kalangan kanak-kanak yang semakin disedari di seluruh dunia ialah pneumokokal (PnD).

''Penyakit ini antara penyakit pembawa maut yang paling mudah berjangkit pada hari ini. Dianggarkan seorang bayi meninggal dunia setiap satu minit di seluruh dunia akibat jangkitan bakteria pneumokokus,'' ujarnya pada majlis memperkenalkan Vaksin Prevenar 13, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengurus Negara bagi Pfizer, Angela Choi.

Anggaran yang dibuat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mendapati, setiap tahun penyakit itu menyebabkan kematian kepada lebih sejuta kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah di negara-negara membangun.

Dr. Zulkifli memberitahu, kira-kira 60 peratus kanak-kanak tadika dan prasekolah juga menjadi pembawa bakteria pneumokokus. Ia boleh disebarkan kepada kanak-kanak lain dalam pergaulan seharian di tadika atau taman asuhan.

Jelasnya, terdapat satu bakteria lagi iaitu S. Pneumoniae yang menyebabkan penyakit mengancam nyawa seperti pneumonia, meningitis dan bakteremia (keracunan darah) serta otitis media (jangkitan bahagian tengah telinga).

Setiap tahun bakteria S. Pneumoniae dianggarkan membunuh lebih 735,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun di seluruh dunia terutama di negara membangun.

''Jika dulu pakar pediatrik mendapati kes jangkitan Hib merupakan penyebab utama kepada penyebaran pneumokokus dan kematian membabitkan kanak-kanak berusia bawah lima tahun, tetapi sejak 2005 kajian mendapati, PnD adalah punca utamanya.

''Penyakit ini bukan saja menjangkiti kanak-kanak, malah juga warga emas berikutan sistem pertahanan badan yang agak lemah,'' jelasnya.

Walaupun tiada sebarang ubat khusus untuk merawat PnD, ia masih boleh di atasi dengan penggunaan vaksin.

Malah kanak-kanak kini boleh mendapatkan perlindungan daripada penyakit pneumokokal (PnD) dengan vaksin Prevenar 13 terbaru.

''Vaksin baru ini mampu meluaskan perlindungan kepada enam lagi stereotaip bakteria S. Pneumoniae yang menyebabkan jangkitan kepada otak, paru-paru dan bahagian tengah telinga,'' katanya lagi.

Menurutnya, mengikut sejarah, vaksin pertama telah dihasilkan oleh Louis Pasteur pada tahun 1888. Vaksin itu dicipta untuk melindungi manusia daripada serangan penyakit anjing gila. Ia diikuti dengan vaksin terhadap difteria dan tetanus yang diperkenalkan pada awal tahun 1900-an.

Pada tahun 1963, vaksin demam campak diperkenalkan dan hasilnya hanya 81 kes penyakit tersebut dicatatkan pada tahun tersebut di Amerika Syarikat (AS). Perkara yang sama juga berlaku kepada penyakit polio yang boleh diubati dengan vaksin.

Beliau memberitahu, penyakit polio suatu ketika dahulu merupakan antara ancaman yang terbesar yang pernah dialami oleh masyarakat AS. Angkanya hampir mencecah sehingga 20,000 kes.

Vaksin polio yang diperkenalkan telah memberi sinar baru kepada pesakit

"Justeru kita melihat, vaksin sangat penting bagi merangsang sistem imunisasi tubuh bagi melawan jangkitan yang seterusnya. Penyakit demam campak misalnya pernah meragut 432 nyawa pada sekitar tahun 1958 hingga 1962,'' katanya.

Menurut Zulkifli lagi, vaksin diibaratkan sebagai perisai yang sangat penting untuk semua bayi yang baru lahir. Perlindungan menerusi vaksin adalah antara cara terbaik untuk melindungi tubuh daripada serangan penyakit apabila usia meningkat.

"Jika tiada imunisasi mungkin nyawa anak kecil yang tidak berdosa berada dalam bahaya. Kesihatan anak yang masih kecil tidak terjamin daripada sebarang ancaman penyakit.

"Seperti kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati, justeru pencegahan penyakit adalah kunci kepada kesejahteraan manusia selain melindungi insan tidak berdosa seperti anak-anak kecil,'' katanya lagi.

Katanya, apabila kanak-kanak disahkan menghidap PnD, kesannya amat besar dan mencabar bagi seluruh keluarga.

Namun melalui pelindungan Prevenar 13 ia mampu mengurangkan risiko PnD di kalangan bayi dan kanak-kanak kecil.

Jelasnya, PnD diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2005 untuk melindungi bayi dan kanak-kanak kecil daripada terus dijangkiti PnD.

Beliau menegaskan, tiada seorang pun kanak-kanak yang boleh dibiarkan tanpa vaksin.

Sebaik sahaja antibodi dihasilkan dalam tindak balas terhadap vaksin yang disuntik, ia akan menjadi antara bahagian paling kukuh dalam sistem imunisasi badan manusia.

Bagaimanapun, jika seseorang itu dibiarkan terdedah kepada jangkitan semula jadi, antibodi akan bertindak melawan jangkitan tersebut.

Tambah beliau, kebanyakan vaksin akan diberikan sejak kanak-kanak lagi kerana sebahagian besar penyakit lebih terdedah pada awal usia memandangkan sistem imunisasi kanak-kanak tidak kuat.

Kini, jelasnya, ibubapa boleh mendapatkan suntikan vaksin Prevenar 13 itu di semua hospital swasta.

Tiada ulasan

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!