Khamis, 18 November 2010

KEMAHIRAN BERCAKAP KANAK-KANAK


HARIAN METRO : KAJIAN terkini menunjukkan kanak-kanak di Britain yang mula bersekolah tadika sukar bercakap atau mendengar dengan baik disebabkan bunyi bising berterusan dan perbualan yang kurang baik di rumah.

Pemerhati pendidikan, Ofsted melaporkan, televisyen yang sentiasa terpasang, adik-beradik yang sering membuat bising dan meninggikan suara di rumah semakin menjejaskan kemahiran bahasa kanak-kanak.

Kajian terbabit yang mengetengahkan bagaimana sekolah terbaik mendidik kanak-kanak untuk membaca, menyebut laporan beberapa sekolah yang meluangkan waktu untuk mendidik ibu bapa serta meningkatkan kemahiran sosial kanak-kanak.

Dalam sesetengah kes, kanak-kanak muncul di tadika dengan memakai lampin dan puting di mulut.

Menurut laporan Ofsted, kebanyakan sekolah yang mempunyai tadika memaklumkan, kanak-kanak menyertai kelas tanpa persediaan untuk belajar serta mempunyai kemahiran mendengar dan bercakap pada tahap yang rendah.

Kajian itu turut menyatakan, kemahiran mendengar yang lemah tidak hanya disebabkan perbualan kurang baik di rumah malah biasanya ia disebabkan bunyi berterusan di rumah seperti televisyen.

Laporan itu menyatakan, dalam sesetengah kes, pertuturan kanak-kanak terhad kepada frasa seperti 'saya mahu...' dan terhenti di situ. Sesetengah anak kecil ini pula tidak pernah berjalan lebih jauh daripada pusat beli-belah berhampiran rumah masing-masing.

Untuk menangani masalah itu, tadika terbabit memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan perbendaharaan kata dan menggunakan ayat serta memastikan rutin harian mereka berstruktur, berbanding keadaan kelam-kabut yang biasa dialami kanak-kanak terbabit di rumah.

Statistik rasmi di negara berkenaan menunjukkan seorang daripada lima kanak-kanak berusia 11 tahun meninggalkan sekolah rendah tanpa mencapai standard yang sepatutnya dicapai kanak-kanak daripada kumpulan usia berkenaan daripada aspek membaca dan menulis.

Bukti menunjukkan waktu penting untuk kanak-kanak membesar untuk menjadi individu yang baik dalam pembacaan dan penulisan adalah ketika mereka berusia tiga hingga tujuh tahun.

Sekolah yang baik pula seharusnya menyediakan peluang kepada kanak-kanak untuk bercakap dan mendengar bagi membina perbendaharaan kata mereka.

"Meskipun terdapat langkah besar untuk meningkatkan tahap membaca dan menulis sejak kebelakangan ini, tahap yang dicapai kebanyakan kanak-kanak pada akhir sekolah rendah mereka masih tidak memuaskan," kata Ketua Pemeriksa Ofsted, Christine Gilbert.

GreenAppleKu : Risau melihat kanak-kanak yang masih tidak pandai bercakap walaupun telah berumur 7 tahun. Ibu bapa harus memandang masalah ini dengan serius. Sesuatu perlu di lakukan. Banyakkan latihan membaca.


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...