Isnin, 22 November 2010

GELARAN HAJI DAN HAJAH



SOALAN

APAKAH dibolehkan seseorang itu ‘menuntut’ dan menggunakan gelaran ‘Haji’ atau ‘Hajah’ sesudah pulang daripada menunaikan ibadat itu?

Adakah ia satu kesalahan di dalam Islam kerana tidak pernah digunakan oleh Nabi dan sahabat? Jika dibenarkan, apakah pula ulasannya?

JAWAPAN

Sebelum ini juga ramai bertanya sama ada gelaran ‘Haji’ boleh digunakan kepada mereka yang selesai menunaikan haji.

Saya teringat sekitar 10 tahun lalu, seorang kenalan saya memarahi rakannya kerana tidak memanggilnya dengan gelaran itu.

Bila saya tanya kenapa sampai begitu sekali, dijawabnya: “Ye la, kita dah bertungkus-lumus melaksanakan haji, berbelas-belas ribu ringgit habis, jadi hormatlah sikit kita dengan pengiktirafan.” Demikian tegasnya secara emosi.

Saya yakin, pembaca mempunyai pelbagai reaksi membaca jawapannya. Majoriti mungkin merasa tidak bersetuju dengan hujah yang disebut sahabat itu tadi.

Namun, itulah hakikat bagi sebahagian besar umat Islam, khususnya di Malaysia. Mereka ingin serta berasa selesa dan bangga dengan gelaran ‘Haji’ sesudah pulang daripada mengerjakan ibadat agung itu.

Jadi persoalan kita ketika ini, adakah ia dibolehkan di sisi Islam? 

Pada pendapat saya, gelaran sebegini bukan persoalan ibadat khusus yang memerlukan kepada dalil khusus daripada amalan Rasulullah SAW atau sahabatnya.

Isu gelaran adalah sebuah isu kemasyarakatan dan sosial yang tidak tertakluk kepada dalil khusus. Ia hanya tertakluk kepada dalil umum yang mengandungi nilai dan asas, sama ada untuk mengarah atau melarang.

Dalam hal gelaran, dalil yang menjelaskan prinsip atau disiplin dalam gelar- menggelar boleh diambil daripada firman Allah SWT seperti tercatat di dalam ayat surah al-Hujurat yang bermaksud: “Janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah segala jenis nama panggilan yang berciri fasik selepas kamu beriman.”

Jelas daripada ayat di atas, prinsipnya adalah Allah SWT melarang umat Islam menggelar saudara seagama dengan apa juga gelaran buruk dan menyakitkan hatinya, tidak kira sama ada ia benar atau tidak, selagi mana ia dilakukan dengan niat menghina dan menjatuhkan, ia adalah dilarang.

Imam Abu Ja’far At-Tabari mengatakan: “Memanggil dengan gelaran adalah seperti seseorang memanggil saudaranya dengan cara yang dibencinya sama ada (menggunakan) nama tertentu atau sifat. Dan larangan Allah SWT itu umum tanpa sebarang pengkhususan kepada satu jenis gelaran tanpa yang lain, maka oleh itu, tidak harus (haram) bagi seorang Muslim untuk memanggil saudaranya sama ada dengan nama atau sifat yang dibencinya.” (Jami al-Bayan, 22/29)

Justeru dalam Islam, budaya gelar menggelar dengan gelaran buruk bukan tindakan benar, malah paling keji dan hanya mainan individu yang dipimpin emosi.

Jangan sesekali mudah memulakan gelaran seperti ‘ulama Mi segera’, ‘Si bodoh’, ‘Munafik’ dan lain-lain.

Walau apapun sebab dan latar belakang kemarahannya, menggelar seseorang dengan gelaran buruk bukan caranya. Ada banyak cara bahasa lain yang lebih sesuai untuk menegur seseorang.

Ia hanya akan memburukkan keadaan dan seterusnya menjatuhkan maruah anda sendiri, bukan mereka yang digelar.

Tiada kebaikan yang boleh tersebar daripadanya kecuali kepuasan peribadi pihak menggelar kononnya untuk menegakkan yang hak tetapi sebenarnya hanya memuaskan nafsu amarah masing-masing.

Islam melarang menggelarkan seseorang dengan sebarang gelaran buruk, dilarang juga mengkafirkan seseorang tanpa kejelasan yang putus atau kelak kekafiran dan gelaran itu akan kembali kepada dirinya sendiri. Seluruh gelaran buruk yang dicipta juga akan kembali kepada individu yang memberikan gelaran buruk itu.

Namun demikian, ada pengecualian jika sesuatu gelaran dibuat bagi keadaan tertentu seperti untuk membezakan antara individu, maka mereka digelar dengan sifat atau nama yang sesuai bagi fizikal mereka. Walaupun gelaran itu buruk, panggilan itu dibuat bukan untuk menghina dan merendah, ia hanya diniat untuk memberi pengenalan kepada mereka yang bertanya. Tatkala itu, ia dibenarkan.

Demikian juga jika ada maslahat lebih besar untuk dijaga, seperti ulama menggelar beberapa ‘perawi’ sebagai ‘kazzab’ yang ertinya ‘banyak berbohong’ bagi menjaga ketulenan sesebuah hadis. Namun, ia bukan diguna secara meluas hingga ke peringkat masyarakat awam kerana hal sedemikian hanya diketahui golongan ulama daripada kalangan pengkaji hadis dan perawinya.

Hadis Riwayat Abu Daud menyatakan, terjadi perbualan antara orang ramai dan Rasulullah apabila mereka memanggil baginda: “Wahai Rasulullah, wahai yang terpilih dan anak yang terpilih, tuan kami dan anak kepada tuan.”

Namun, Rasulullah SAW lantas menjawab: “Wahai manusia, kamu berkata dengan perkataan kamu, namun jangan sampai kamu diselewengkan oleh syaitan, aku adalah Muhammad, Hamba Allah dan Rasul-Nya, tiadalah aku suka kamu mengangkat darjatku melebihi darjat yang diberikan Allah kepadaku.”

Kita perlu tahu bahawa gelaran perlu digunakan secara berhati-hati supaya tidak melampau sehingga terjebak dalam kes pengikut Kristian yang menganggap Nabi Isa sebagai anak tuhan akibat berlebihan dalam mengagungkan dirinya.

Tentunya tiada halangan di dalam Islam untuk gelaran biasa yang kurang kontroversi seperti Tuan Haji, Ustaz, Dr, Datuk, Syeikh, Profesor, Tok Guru, Imam, Hujjatul Islam, Syeikhul Islam dan apa juga gelaran yang baik lagi disukai dan baik untuk digunakan sebagai penghargaan, pujian, doa dan pengiktirafan.

Isu sama ada gelaran itu akan mendatangkan rasa riak, takbur dan ‘ujub’ adalah persoalan kedua. Hal ini mempunyai sedikit persamaan dengan isu memuji seseorang di depannya.

Kesimpulannya, jika diketahui pujian itu akan memusnahkannya, jangan dilakukan. Maka larangan adalah disebabkan hal luaran yang mendatang dan bukan pada pujian itu sendiri. Demikian juga gelaran Tuan Haji, Say- yid dan sepertinya.

Oleh itu, jika kita memanggil seseorang dengan gelaran Tuan Haji dan ia disukai olehnya, sudah tentu ia tidak dilarang, sebaliknya lebih digalakkan lagi.

Ini kerana, mungkin gelaran itu boleh mengingatkannya kepada Allah SWT serta boleh mengekalkannya dirinya supaya sentiasa insaf kepada Allah SWT.

Apatah lagi apabila menjadi adat di sesebuah kawasan untuk menggunakan nama panggilan yang baik itu.

Adakalanya, gelaran ‘Haji’ juga diguna semata-mata kerana tiada gelaran lain yang sesuai untuk seseorang bagi menunjukkan hormat kita.

Saya pernah mempunyai beberapa kenalan jutawan veteran yang sangat rapat dengan saya, walaupun mereka jutawan, hartawan, pengasas dan ketua syarikat masing-masing, mereka belum menerima anugerah Datuk dan juga bukan pemegang taraf Doktor Falsafah.

Justeru, gelaran apa paling sesuai untuk memanggil mereka di samping menunjukkan penghormatan kita kepada umur peringkat itu?

Tatkala itu saya hilang idea, hanya gelaran ‘Tuan Haji’ saya kira paling sesuai setiap kali berhubung dengan mereka. Gelaran pakcik atau gelaran syeikh pasti kurang sesuai dengan orang yang berperwatakan sepertinya.

Kita sedar, kesan buruk juga boleh berganda apabila seorang bergelar ‘tuan haji’ dan ‘puan hajah’ melakukan maksiat dan dosa terang-terangan. Lebih mendukacitakan apabila kesnya membabitkan tangkapan khalwat, zina, pecah amanah dan lain-lain yang biasanya tersiar di dada akhbar.

Namun demikian, hal itu tidak menjadikan penggunaan gelaran ‘Haji’ dan Hajah’ sebagai haram.

Bagaimanapun perlu diingatkan, walaupun seseorang itu ‘harus’ mendapat atau menggunakan gelaran ‘Haji’, yang perlu disedari adalah pemergian menunaikan rukun Islam kelima itu bukan kerana gelaran yang diberi manusia, sebaliknya pandangan serta pengiktirafan Allah SWT sendiri.

Artikel -Zaharuddin Abd Rahman-

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...