AYAH GAY MALAS BEKERJA


SAYA remaja berusia 19 tahun dan mempunyai masalah yang berat untuk diluahkan kepada sesiapa. Selama ini saya hanya mampu bertahan dan melihatnya bertahun-tahun, tetapi kini saya merasakan ia tidak tertanggung lagi.

Ayah saya langsung tidak mahu menunaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dan suami kepada ibu saya. Dia tidak pernah bersolat, bekerja, apatah lagi menunaikan kewajipannya sebagai hamba Allah dan tidak berpuasa pada Ramadan.

Dia hanya goyang kaki di rumah. Segala urusan perbelanjaan dan nafkah diuruskan oleh ibu. Seolah-olah ibu pula yang perlu menunaikan tanggungjawabnya.

Ibu bekerja siang malam bagi menanggung perbelanjaan saya dan adik-beradik, manakala ayah pula hanya menonton televisyen.

Saya lihat ayah mampu lagi tersenyum, ketawa sambil bergoyang kaki seolah-olah tiada perkara yang merisaukannya, sedangkan ibu asyik berfikir bagaimana mahu menambah pendapatannya untuk membayar perbelanjaan rumah, yuran universiti dan sebagainya.

Saya sangat sakit hati melihat ayah dan membencinya. Sampai hati ayah melakukan ibu sebegini, sedangkan ibu banyak berkorban kepadanya.

Ibu sentiasa di sisi kami, memberi semangat dan dorongan untuk memasuki pengajian tinggi. Saya bukan pelajar pandai, jadi saya sering dipandang hina oleh ayah.

Saya kenal sangat pandangan hinanya terhadap saya. Apabila saya tidak memahami apa yang dikatakannya, dia tersenyum mengejek.

Padahal saya anaknya, bukan orang lain. Dia tidak pernah mengajar saya ketika kecil, sebaliknya ibu saja. Dia jarang pulang ke rumah.

Dia beritahu saya dia tiada wang apabila saya memintanya kerana waktu itu saya terdesak, malah dia menjawab bukankah ibu bagi duit, mengapa tidak minta saja dengan ibu?

Yang mengejutkan saya ialah dia mempunyai pendapatan untuk dirinya saja, bukan untuk kami. Ayah saya juga sangat takbur dan terlalu bangga dengan dirinya.

Kononnya dialah paling bijak pandai antara semua. Ini kerana dia pernah melanjutkan pelajaran ke luar negara. Jadi, dia sering menyebut keadaan ketika di luar negara dalam keadaan bangga diri.

Ayah saya juga gay dan pernah meminum arak. Saya pernah terlihat gambar lelaki tidak berbaju di telefon bimbitnya. Juga pernah terjumpa cakera padat lucah gay.

Ibu sentiasa menangis pada tengah malam mengenangkan sikap ayah. Ibu tidak sanggup meminta cerai kerana memikirkan kami dan ketiadaan tempat tinggal. Saya benar-benar kagum dengan ibu.

Paling menyedihkan hati, ayah langsung tidak ingin menjawab panggilan telefon saya kerana bimbang saya meminta wang dengannya.

Tidak sayangkah dia kepada anaknya? Saya membenci ayah tetapi pada masa sama, saya ingin dia berubah kerana tidak sanggup melihat ibu terus menderita.

Saya serahkan segala-galanya kepada-Nya dan semoga Allah memberi hidayah kepada ayah. Saya juga berharap Dang Setia dapat membantu saya dalam hal ini.

-ANAK TERLUKA- 
 
**********

Terkedu Dang Setia mendengar masalah saudari kerana secara jujur memang sukar ditentukan satu jalan penyelesaian mutlak. Usaha memperbetulkan salah laku bapa antara perkara paling sukar ditempuhi anak.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna kita tidak perlu melakukan apa-apa. Usaha tetap perlu dilakukan, sama ada berjaya atau tidak, ia milik Allah SWT.

Yang penting ialah mencari kaedah sesuai kerana pendekatan dilakukan perlu halus dan berhemah bagi mengelak hubungan anak dengan bapa menjadi renggang.

Sering kali berlaku biarpun niat anak baik dan berada di pihak benar, ego bapa menyebabkan mereka sukar mengakui kelemahan sendiri.

Justeru, dalam kes membabitkan usaha anak untuk memperbetulkan salah laku bapa, Dang Setia cenderung mencadangkan penggunaan khidmat pihak ketiga.

Oleh itu, Dang Setia cadangkan saudari membincangkan masalah ini dengan saudara terdekat, contohnya emak atau bapa saudara, iaitu abang atau kakak kepada ayah saudari. Keadaan akan lebih membantu jika mereka ada pengaruh besar ke atas ayah saudari atau dia menghormati mereka.

Dang Setia percaya, nasihat daripada orang yang lebih dihormati lebih mudah memberi kesan kepada ayah saudari berbanding jika saudari sendiri menasihatinya.

Dang Setia kagum dengan rasa tanggungjawab saudari untuk mengatasi salah laku ayah saudari. Namun, saudari perlu ingat, usaha dilakukan jangan sampai ke tahap menderhaka kepada ayah.

Biar seburuk mana sekalipun perangai ayah, dia tetap ayah saudari dan tidak wajar saudari menderhaka kepadanya.

Selain itu, banyakkan berdoa kepada Allah. Mungkin jawapan atau cadangan ini kelihatan tidak proaktif tetapi bagi Dang Setia, dalam melakukan sesuatu, kita jangan sekali-kali lupa memohon pertolongan Allah, lebih-lebih lagi apabila berdepan masalah rumit sebagaimana saudari alami sekarang.

Ini kerana, apabila berdepan masalah bapa gagal menjalankan tanggungjawab, sememangnya jalan penyelesaian untuk si anak sangat terhad. Jika bertindak terlalu agresif, kita dianggap derhaka. Sebaliknya, jika berdiam diri, ia semakin menyeksa jiwa.

Sebab itu dalam kebuntuan itu, kembalilah kepada Yang Maha Esa. Apabila tiada insan lain yang mungkin dapat membantu kita, pada Allah saja yang wajar kita meminta pertolongan. Allah pula teramat suka orang memohon dan meminta pertolongan daripada-Nya.

Tambahan pula sebagai anak, doa saudari untuk kesejahteraan ayah antara paling mudah diperkenankan Allah. Lagipun, dalam kes saudari, hanya Allah mampu memberikan hidayah dan menyedarkan ayah saudari di atas kesilapannya.

Seperkara lagi, di sebalik kesukaran dihadapi, jangan lupa bersyukur kerana Allah ‘melihat’ saudari. Biarpun ayah gagal menjalankan tanggungjawabnya, saudari diberi hidayah Allah supaya tidak turut terpesong sepertinya. Oleh itu, hargai perhatian Allah.

Andai kata segala usaha saudari tetap menemui jalan buntu, jangan pula kecewa dan menyalahkan takdir Allah. Sebagaimana Dang Setia nyatakan di awal tadi, tanggungjawab kita hanya berusaha. 

Sama ada usaha kita membuahkan hasil yang kita harapkan atau tidak, segala ketentuan Allah wajib kita terima dengan hati terbuka. 

Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Apa yang kita suka tidak semestinya yang terbaik untuk kita dan ada kalanya Allah makbulkan doa kita bukan dengan serta-merta tapi pada masa sesuai, yang hanya Dia tahu bila waktunya.

Akhir sekali, Dang Setia berharap warkah saudari dibaca oleh golongan ayah yang gemar melakukan maksiat dan melupakan tanggungjawab kepada keluarga. Sedarlah, tabiat buruk anda meninggalkan kesan besar kepada anak anda.

GreenAppleKu : Setuju dengan Dang Setia, sedarlah golongan ayah..tabiat buruk anda meninggalkan kesan besar kepada anak anda.

3 ulasan:

  1. Terima kasih En. Hamzah Abdul Hamid. Rasanya terlalu tinggi komen tu.

    BalasPadam
  2. hampir same dengan kisah hidup saya..

    BalasPadam

No proper ID, no proper comment, down you go the spam drain. Receiving happy vibes!